'

Pinda perlembagaan parti baharu

image (6)

ALOR SETAR – Perlembagaan Parti Pekerja Malaysia sudah dipinda bagi membolehkannya dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Pengerusi Harapan Baru, Mohamad Sabu berkata, mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan Selasa lalu, bertujuan membuat beberapa pindaan kepada perlembagaan parti itu.

Pindaan itu dibuat untuk membolehkan Parti Pekerja Malaysia diterjemahkan sebagai Parti Amanah Negara,” katanya selepas majlis pelancaran Wisma Harapan Baru Kedah dan Parti Amanah peringkat negeri di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, pindaan itu juga melibatkan pertukaran perkataan pengerusi parti kepada presiden.

“Banyak lagi pindaan dibuat dan akan diterangkan dari semasa ke semasa. Parti ini tidak ada pemimpin hebat kerana semua pemimpin dan jawatankuasanya bersama dalam bentuk kolektif,” katanya.

Pada perkembangan lain, beliau berharap perbezaan pendapat yang berlaku antara Pas dan DAP dahulu tidak berulang dalam PR baharu.

“Dalam suatu perkara, kita mesti berbincang secara bersama dan ambil persetujuan. Setuju kata setuju, tidak kata tidak.

“Saya tidak mahu dalam mesyuarat kata setuju, tapi di luar kata sebaliknya. Malah ketika berada dalam Pas dahulu, sayalah yang mengetuai mesyuarat PR kebanyakannya,” katanya.

Beliau berkata, PR baharu mesti mempunyai satu garis panduan jelas dan membuat perbincangan dengan betul.

“Kalau mesyuarat itu tidak cukup sehari, buatlah dua atau tiga hari supaya perkara itu kita boleh dapat keputusan bersama,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden peserta himpunan Bersih 4.0 memijak gambar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menyifatkan ia tindakan keterlaluan.

“Saya tidak setuju gambar siapa sekalipun yang dipijak sama ada Abdul Hadi mahupun Najib. Pahlawan dari Pas hentam kerana pijak gambar pemimpin mereka.

“Tetapi gambar saya dipijak di hadapan Pejabat Pas oleh Pemuda Pas, kemudian ulama pula tolong membacakan doa. Ada tak panglima Pas ketika itu?,” soalnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memaklumkan bahawa Parti Pekerja Malaysia tidak boleh dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara kerana ia bukan parti politik tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.

Menurutnya, Harapan Baru tidak boleh menggunakan nama Amanah sebagai nama rasmi wadah politik selagi perlembagaan parti pekerja tidak dipinda dan mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Nur Jazlan berkata, jika nak teruskan usaha itu maka ia perlu dibuat pindaan pada perlembagaan Parti Pekerja.

SUMBER: Sinar Harian

CATEGORIES
TAGS