'

AMANAH SABAH BANTAH TINDAKAN KERAJAAN AMBIL 1.5 JUTA PEKERJA ASING DARIPADA BANGLADESH.

12279222_1491388017857893_5932257097021546813_n

1) Parti Amanah Negara-Negeri Sabah (Amanah Sabah) pada hari ini membuat kenyataan media membantah tindakan kerajaan mengambil 1.5 Juta Pekerja Asing daripada Negara Bangladesh. Memetik sumber daripada Utusan Malaysia bertarikh 10 Febuari 2016, yang bertajuk “Bangladesh Lulus MoU hantar 1.5 Juta Pekerja ke Malaysia, Amanah Sabah melihat tindakan kerajaan ini adalah satu tindakan yang salah dalam mengatasi keperluan buruh di Malaysia.

2) Meneliti daripada aspek kesan kemasukan buruh asing ke Sabah dan Sarawak, Amanah Sabah berpendapat lambakan pekerja Asing di negeri ini boleh mengancam populasi pribumi asal di kedua-dua negeri.

Merujuk kepada unjuran populasi penduduk di negeri Sabah pada tahun 2015, jumlah penduduk di negeri Sabah adalah seramai 3,543.50 juta orang dengan 870,400 orang adalah bukan warganegara Malaysia dan Sabah mencatat jumlah bukan warganegara tertinggi di Malaysia berbanding negeri-negeri lain diikuti Selangor dan Johor.

Menilai situasi ini, kemasukan buruh asing ke negeri Sabah khususnya boleh menjejaskan, populasi penduduk pribumi negeri Sabah dengan penambahan jumlah ‘bukan warganegara’ di Sabah.

Hal ini sekaligus dibimbangi akan menghakis adat resam serta sosio-budaya masyarakat Sabah yang diwarisi sejak dahulu lagi yang akhirnya membawa kepada hilangnya identiti sebenar masyarakat Sabah.

3) Selain itu, kemasukan buruh asing seramai 1.5 Juta ini juga boleh meminggirkan peluang pekerjaan masyarakat di Sabah. Sehingga ke hari ini, peratusan penganggur yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Manusia yang tertinggi di Malaysia adalah di Sabah iaitu sebanyak 4.7%, berbanding Sarawak (3.8%) dan Semenanjung (2.1%). Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Siringan Gubat.

4) Lambakan pekerja asing kelak akan meminggirkan warga tempatan Sabah. Bersandarkan faktor kemelesetan ekonomi, pihak majikan pastinya mengambil kesempatan memilih buruh asing yang boleh dibayar dengan gaji yang rendah tanpa melihat kompetensi pekerja, kelayakan bekerja dan pengalaman dalam pekerjaan. Hal ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Setiausaha Kabinet Bangladesh, Mohammad Shafiul Alam, seperti dilaporkan portal berita Bangladesh bdnews24.com, menjelaskan “Kini, warga Bangladesh boleh bekerja dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Sebelum ini mereka hanya dibenarkan bekerja dalam sektor perladangan.”

Perkara ini amat dikesali kerana Sabah mampu menyediakan tenaga kerja mahir daripada kolej-kolej vokasional, institut-institut latihan, politeknik dan Universiti di Sabah.

5) Lambakan pekerja asing di negeri Sabah juga mendorong kepada berlakunya kes pengundi hantu semasa Pilihanraya. Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan pendatang haram di Sabah, yang bermula Januari 2013, mendedahkan testimoni rakyat Filipina dan warga asing lain tentang bagaimana mereka menerima kad pengenalan biru dalam masa beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan mengundi dalam pilihan raya.

Selain itu, terdapatnya kes penangkapan pengundi hantu semasa pilihanraya ke-13 yang lalu. Justeru, tindakan kerajaan membawa masuk pekerja asing seramai 1.5 juta orang daripada Bangladesh memungkinkan kes pengundi hantu ini berulang pada pilihanraya umum ke-14 nanti, sekaligus menafikan hak warga tempatan memilih secara bersih dan adil dalam pilihanraya akan datang.

6) Maka dengan ini, kami mengajak seluruh warga Malaysia, khususnya rakyat Sabah untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan mengambil 1.5 Juta buruh Asing daripada Negara Bangladesh.

Amanah Sabah juga menyatakan sokongan kepada badan bukan kerajaan, mahasiswa serta rakyat seluruhnya yang membantah tindakan kerajaan ini.

“Bekerja untuk Sabah”

Khairuddin Daud
Pengarah Komunikasi,
Amanah Sabah

12 Febuari 2016| Kota Kinabalu

 

CATEGORIES