'

Mat Sabu tak mahu sumbangan ke akaun peribadi

unnamedPresiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu mengucapkan terima kasih atas bantuan orang ramai padanya bagi membayar ganti rugi mahkamah bagi mengelakkan diisytihar muflis.

Bagaimanapun, kata pegawai khas presiden AMANAH Mohd Azhar Mat Dali, Mohamad tidak mahu sumbangan tersebut disalurkan kepada akaun peribadi beliau. ‎

“Setiap sumbangan hendaklah melalui saluran yang sah dan dalam makluman AMANAH,” katanya.

Azhar berkata sebarang urusan sumbangan boleh terus menghubungi Seketariat Sahabat Mat Sabu di talian 011-35712316.

AMANAH semalam meminta orang ramai menghubungi pihaknya terlebih dahulu sebelum menghulurkan bantuan kepada Mohamad Sabu yang harus membayar ganti rugi RM200,000.

Setiausaha agungnya, Mohd Anuar Tahir berharap usaha itu dapat diselaraskan dan dilakukan dengan elus bagi mengelakkan pertikaian di kemudian hari dan supaya tidak timbul fitnah.

Mohamad berdepan tuntutan muflis selepas gagal melunaskan ganti rugi kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) kerana memfitnah bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berhubung isu ‘projek IC’ di Sabah.

Kenyataan itu disiarkan lidah rasmi PAS,Harakah edisi 1 hingga 3 Februari 2013, yang mana Mohamad ketika masih timbalan presiden PAS.

Peguam Wan Ahmad, Noor Hazira Abu Haiyan seperti dilaporkan media berkata, pihaknya memfailkan petisyen pemiutang terhadap Mohamad untuk mendapatkan semula ganti rugi itu berserta faedah.

 

SUMBER: Malaysiakini

TAGS