'

PAKATAN HARAPAN LEBIH KOMITED MENGANGKAT PEMIMPIN WANITA BERBANDING BARISAN NASIONAL

1-      Sesi penamaan calon yang selesai dijalankan semalam memperlihat koalasi politik Pakatan Harapan telah membuktikan komitmen dalam mengiktiraf kepimpinan wanita, bila mana seramai 14 orang calon wanita telah diketengahkan berbanding  dengan barisan Nasional yang hanya menamakan 5 orang calon pemimpin wanita mereka daripada keseluruhan 82 DUN di Sarawak.

2-      Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua 14 calon-calon wanita Pakatan Harapan ini yang terdiri daripada 6 orang calon daripada Parti Keadilan Rakyat(KeADILan), 6 orang calon daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) manakala 2 orang calon lagi daripada Parti Amanah Negara (AMANAH).

3-      Kesediaan Pakatan Harapan meletakkan jumlah calon wanita yang melebihi jumlah calon wanita Barisan Nasional ini menunjukkan kesungguhan serta iltizam penuh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan dalam mengangkat martabat wanita dan memperjuangkan isu-isu kebajikan serta pembangunan wanita khususnya kaum wanita di bumi Sarawak.

4-      Kita sedia maklum, Sarawak di antara negeri yang masih lagi terkebelakang dalam usaha-usaha membangunkan potensi, kemahiran dan kepimpinan wanita kerana sebilangan besr rakyatnya masih berada di kawasan-kawasan pedalaman yang jauh dari akses pembangunan negeri. Justeru amat penting untuk pemimpin politik wanita berperanan di dalam komuniti mereka agar potensi kaum wanita di negeri Sarawak ini dapat dioptimakan.

5-      Kesungguhan Pakatan Harapan menghantar calon wanita dalam siri Pilihan Raya Negeri Sarawak pada kali ini juga dilihat salah satu kejayaan awal Pakatan Harapan dalam membangunkan kualiti kepimpinan di kalangan ahli mereka dan secara tidak langsung memperlihat bahawa Pakatan Harapan mempunyai calon pemimpin wanita yang lebih ramai dan berkelayakan untuk memperjuang isu rakyat berbanding pemimpin wanita di dalam Barisan Nasional.

6-      Akhirnya, AWAN Nasional mendoakan kejayaan kesemua calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada kali ini khususnya 14 orang calon wanita yang telah diamanahkan untuk membawa perjuangan rakyat. Semoga kemenangan dan rahmat Tuhan sentiasa mengringi setiap langkah perjuangan kita. Mangsang Ngelaban!

 

Dr Siti Mariah Mahmud

Ketua

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional

Parti Amanah Negara

IMG_1341

CATEGORIES