'

DIHALANG MASUK, RAKYAT SARAWAK BERHAK MEMPUNYAI KETUA MENTERI BAHARU

www.amanah.org.my

Saya selamat sampai di Lapangan Terbang Sibu tepat jam 7.57 pagi. Beratur panjang dan menunggu dengan penuh pengharapan bahawa keberadaan saya di sini dirai atas semangat demokrasi bersempena Pilihanraya Negeri Sarawak yang sedang berlangsung.

Malangnya ketika melalui imigresen, pegawai imigresen yang bertugas meminta untuk saya masuk ke Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Sibu. Sambil berjalan masuk, pegawai yang membawa saya menjerit pada rakan sepejabatnya, “Senarai ‘A’!” Kemudian saya dipersilakan duduk di sebuah bilik dan diminta untuk menunggu.

Sekitar 20 minit, saya keluar ke ruang kubikel pejabat dan bertanya samada saya dihalang masuk. Pegawai berkenaan mengakui bahawa saya termasuk dalam senarai “NTL” dan tidak dibenarkan masuk Sarawak. Beliau mengatakan bahawa surat sedang dibuat serta mereka sedang menunggu penerbangan balik ke Kuala Lumpur untuk menghantar saya pulang.

Saya tidak pasti atas justifikasi apa kerajaan negeri Sarawak pimpinan Adnan Satem menghalang saya memasuki Sarawak. Sebelum ini saya tiada masalah untuk masuk ke Bintulu dan telah pun menggerakkan jentera pilihanraya Pemuda AMANAH di sana. Jika faktor ‘pembangkang’ yang menjadi pertimbangan beliau, jelas Adnan Satem gagal memahami makna demokrasi yang beliau kini kenderai untuk memegang kuasa sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Untuk rakyat Sarawak, PRN ini merupakan medan paling penting untuk kita menghantar signal penolakan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak. Kita sudah tidak mampu mengekalkan beliau sebagai pemimpin. Jika anda mengundi disebabkan sentimen Adnan Satem (lebih baik daripada Taib Mahmud), ketahuilah bahawa anda sedang mengukuhkan kedudukan Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Sejujurnya, anda – rakyat Sarawak – berhak mendapat Ketua Menteri yang lebih baik daripada Adnan Satem dan Taib Mahmud. Kita – rakyat Malaysia – berhak juga memperoleh Perdana Menteri yang lebih jujur dan telus berbanding Najib Razak!

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

25 April 2016

CATEGORIES
TAGS