'

PERMASALAHAN JEREBU DAN PENYELESAIANNYA

khalid samad

Oleh: Khalid Abdul Samad

Muqaddimah.

Pada 21Oktober lalu, usul di bawah peraturan 18.1 telah dibawa oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS) meminta supaya urusan Dewan Rakyat ditangguhkan untuk membahas isu jerebu yang melanda negara dan kawasan serantau. Memandangkan ianya isu yang melibatkan kepentingan ramai dan perlu disegerakan, maka TS Speaker telah membenarkan ianya dibahas.

Dalam proses perbahasan, semasa Menteri bangun menjawab, telah dijelaskan bahawa hanya 3% sahaja dari masalah pembakaran terbuka ini melibatkan syarikat-syarikat besar. Hampir 97% berpunca dari pekebun kecil.

Maklumat ini menyebabkan penyelesaian masalah jerebu ini perlu dilihat dari sudut berbeza. Selama ini pendekatan yang ingin digunakan adalah ‘pendekatan rotan’ ia itu dengan mendakwa dan menghukum. Apabila mendengar bahawa hampir keseluruhan masalah ini adalah melibatkan pekebun kecil, saya telah bangun untuk berucap dan mengesyorkan supaya ‘pendekatan carrot’ (lobak merah), iaitu galakan dan ganjaran perlu diberi keutamaan.

Di sini ingin saya perjelaskan lagi cadangan saya. Saya yakin ada pihak lain yang telah mencadangkannya kerana ianya bukan cadangan yang luar biasa.

Pendekatan ‘carrot and stick’ atau ‘lobak merah dan rotan’.

Pendekatan ‘carrot and stick’ atau ‘lobak merah dan rotan’, adalah dua pendekatan yang berbeza yang kedua-duanya digunapakai untuk mencapai matlamat yang diingini. ‘Carrot’ bererti memberi ganjaran sambil ‘stick’ membawa erti hukuman.

Selama ini pendekatan yang sering kedengaran adalah pendekatan ‘stick’ atau hukuman melalui pendakwaan yang boleh membawa hukuman penjara dan denda. Undang-undang digubal dan perjanjian ditandatangani untuk pendekatan ini terlaksana. Namun pendekatan ini lebih sesuai sekiranya yang terlibat adalah syarikat-syarikat besar dan bukan pekebuh kecil. Itu pun ianya pendekatan yang leceh dan mengambil masa. Setakat ini kurang kedengaran adanya kes pendakwaan.

Namun apabila pekebun kecil terlibat, pendekatan carrot adalah yang lebih sesuai. Perlu difahami bahawa pekebun-pekebun kecil perlu dibantu untuk menyelesaikan masalah mereka. Mendakwa dan menghukum mereka tidak akan menyelesaikan masalah pembakaran terbuka kerana persoalan pembuangan sampah menebas atau pembersihan hutan atau kebun tetap tidak diselesaikan.

 

Pendekatan carrot.

Maka masalah utama adalah masalah pembuangan sampah menebas dan pembersihan kawasan hutan atau kebun dengan cara yang mudah dan berkesan. Dari perspektif pekebun kecil, tiada kaedah yang lebih cepat selain dengan membakarnya. Ianya murah, mudah dan cepat. Bagi pekebun kecil ianya penyelesaian yang terbaik. Dan memang tiada pendekatan lain yang sebaiknya disediakan.

Maka, sekiranya dikemukakan satu kaedah yang bukan sekadar cepat dan mudah tetapi mampu mendatangkan ganjaran dan hasil, sudah pasti ianya mampu menghalang pembakaran bahan buangan atau sampah tebasan dan pembersihan ini.

Kaedah ini adalah dengan pembelian bahan buangan pembersihan hutan yang sekarang ini dibakar begitu sahaja.

 

Pembakaran adalah pembaziran.

Semua mengetahui bahawa pada hakikatnya bahan buangan yang sekarang ini dibakar begitu sahaja sebenarnya mempunyai harga dan nilai. Paling kurang, nilai sebagai bahan api atau ‘fuel’ yang apabila jumlah sebesar itu dibakar menghasilkan pembebasan tenaga yang mungkin berjumlah beratus ribu Mega Watt. Namun ianya dilepaskan tanpa hasil kecuali jerebu dan pemanasan bumi (global warming).

Sebaliknya, sekiranya ianya dilakukan dalam keadaan terkawal, melalui mana tenaga yang dilepaskan itu disalurkan dengan baik, ianya boleh digunakan untuk menjana tenaga letrik atau paling kurang, pemanasan dalam proses perkilangan. Penjanaan eletrik melalui proses Thermal Oxidation (pyrolisis) atau incineration sekalipun, boleh dijual balik kepada pekebun kecil yang terbabit. Begitu juga apabila dijadikan bahan api untuk proses pemanasan.

Selain itu ada juga kemungkinan bahan buangan ini boleh digunakan untuk menghasilkan baja kompos atau diproses untuk dijadikan makanan binatang ternakan.

Apabila hasil buangan ini dilihat sebagai aset yang ada nilai dan ianya diberikan harga maka ianya boleh dibeli dari pekebun-pekebun kecil. Apabila ini ditawarkan, sudah pasti pekebun-pekebun kecil tidak lagi akan membazirkan asset mereka dengan membakarnya dengan begitu sahaja.

 

Kos menanggung jerebu.

Mungkin akan dikatakan bahawa ianya tidak ‘viable’ dan ‘not economical’. Dalam erti kata lain ianya merugikan dari sudut perniagaan dan pelaburan. Ya mungkin itu benar. Sekiranya dikajinya secara tersendiri.

Tetapi kalau dikaji kos jerebu kepada semua dan penjimatan yang terhasil apabila masalah jerebu ini ditiadakan atau diminimakan, sudah pasti ianya sesuatu yang menguntungkan! Kos jerebu menyebabkan kerugian beratus juta setiap tahun dan sekiranya ratus juta ini dilaburkan untuk mewujudkan sistem kutipan dan jana-kuasa serta industri kecilan yang menggunakan bahan buangan ini, sudah pasti ianya boleh menjadi perniagaan yang lestari dan menguntungkan.

Namun demikian, satu kajian ke arah ini oleh mereka yang pakar dalam bidang ini boleh terlebih dahulu dilakukan. Namun saya yakin ianya akan lebih berkesan dalam menangani jerebu berbanding kaedah ‘stick’ yang diutamakan sekarang. Sekiranya ganjaran dan kaedah baru ditawarkan tetapi pembakaran tetap dilakukan maka pada ketika itu pendekatan rotan atau stick adalah adil dan wajar.

 

Kesimpulan.

Jerebu mendatangkan kerugian yang tidak dapat dinilai semata-mata dari sudut wang ringit. Kesihatan berjuta penduduk terancam. Persekolahan kanak-kanak terganggu. Dan banyak lagi kesan negatifnya termasuklah terhadap industri pelancongan. Adalah diharap bahawa usaha ke arah penyelesaian akan diutamakan oleh kerajaan Malaysia, Singapura dan lebih-lebih lagi Indonesia. Kalau selama beberapa tahun ini usaha pembasmian tidak berkesan atas sebab pendekatan rotan yang saya sebutkan di atas, adalah diharap tumpuan terhadap pendekatan ‘carrot’ dapat pula dikaji dan diguna pakai.

Mulakan dengan beberapa wilayah utama di mana infrastruktur baik sedia ada dan seterusnya diperluaskan kepada keseluruhan kawasan yang terbabit. InsyaAllah melaluinya masalah dapat dijadikan penyelesaian dan punca kesusahan menjadi punca kesenangan.

CATEGORIES