'

UNDI AMANAH DI SUNGAI BESAR & KUALA KANGSAR, KINI MASA TERBAIK UNTUK MANSUH GST

Kenyataan Media

sany

www.amanah.org.my

1. Laporan ekonomi oleh MIDF, sebuah institusi bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia telah menyasarkan harga minyak stabil dengan purata USD55 setong hingga akhir tahun hadapan. Ini jauh mengatasi nilai sandaran yang digunakan untuk pengubahsuaian bajet 2016 iaitu sebanyak USD30-USD35 setong.

2. Bermakna kerajaan Barisan Nasional akan mendapat hasil cukai minyak yang jauh melebihi daripada apa yang mereka jangkakan. Sehubungan itu, Pemuda AMANAH menggesa supaya kerajaan Barisan Nasional memansuhkan GST untuk mengurangkan beban rakyat yang semakin tertekan dengan pelbagai kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, dan juga penguncupan nilai ringgit.

3. Jika MIDF sendiri menyatakan bahawa kadar GST berkemungkinan boleh diturunkan sehingga 4%, ditambah dengan disiplin urustadbir terbaik, Pemuda AMANAH merasakan tidak mustahil untuk GST ini dimansuhkan. Pemansuhan GST bukan sahaja dapat membantu meringankan beban rakyat, malah dapat menjadi pemangkin stimulus fiscal dengan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik negara dikala kadar aktiviti ekonomi dunia yang semakin perlahan.

4. Memansuhkan GST ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Setidak-tidaknya kita boleh bermula seperti UK yang pernah mengurangkan kadar VAT/GST nya sebanyak 2.5% pada 2008. Ireland pula pernah mengurangkannya pada tahun 1985, 1991, dan 2001. Kerajaan pimpinan Najib Tun Razak harus menginsafi bahawa rakyat kini semakin susah. Kejutan pendedahan penggunaan jet peribadi oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor untuk ke Istanbul baru-baru ini jelas menghiris nurani rakyat. Kos sewaan jet peribadi ini dianggarkan mencecah RM86.4 juta! Ini tidak termasuk pelbagai lagi kes-kes keborosan lain. Siapa yang menanggungnya?

5. Lebih menyedihkan apabila majoriti pimpinan Barisan Nasional dengan penuh angkuh mempertahankan perbelanjaan boros ini. Ada yang mengatakan bahawa sebagai isteri Perdana Menteri, Rosmah berhak untuk menggunakannya. Ada pula yang mengatakan bahawa bukan wang rakyat yang digunakan untuk menanggung perbelanjaan ini, tetapi wang kerajaan. Tidakkah mereka sedar bahawa wang kerajaan ini diambil daripada kutipan cukai yang datang daripada kerahan titik peluh rakyat? Adakah patut rakyat berdiam diri dan hanya berpeluk tubuh mengiyakan tindakan boros kerajaan Barisan Nasional?

6. Pemuda AMANAH menggesa rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan bantahan dan memberikan tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional untuk memansuhkan GST. Ini hanya boleh dilakukan dengan mengundi parti yang bersungguh-sungguh menentang korupsi dan keboroson Barisan Nasional, bukannya ‘parti penasihat’ yang terus bertoleransi dengan kebejatan urustadbir kerajaan pimpinan Najib Razak. Undilah AMANAH / Pakatan Harapan untuk harapan baru rakyat Malaysia.

“Harapan Baru”

SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

15 Jun 2016

CATEGORIES
TAGS