Tidak perlu sokong tindakan AS ke Syria


image (1)Tidak ada keperluan bagi kerajaan untuk menyokong mana-mana kumpulan yang masuk ke Syria untuk melawan militan IS.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, kerajaan sebaliknya perlu merintis jalan damai dalam usaha penyelesaian krisis ini dengan mendesak semua pihak supaya hadir ke meja rundingan.

“Arab Saudi, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah membuat keputusan untuk bersama Amerika Syarikat (AS) dan 36 negara yang dipimpinnya untuk masuk ke Syria dengan alasan kononnya untuk melawan IS.

“Kami desak kerajaan supaya memainkan peranan segera melalui OIC atau badan antarabangsa yang lain agar isu Syria diselesaikan melalui meja rundingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, AS serta rakan sekutunya hanya akan memangsakan rakyat awam sekiranya pertempuran antara pihak AS dan IS.

“Pada masa ini, keadaan di Syria sudah cukup sengsara. Kemusnahan yang berlaku di negara Timur Tengah ini adalah berpunca daripada sikap adu domba, dominasi hemegoni politik Amerika bersama sekutunya Israel dan beberapa negara Arab yang lain, sekaligus membawa negara-negara Arab dan umatnya berada dalam kehancuran.

“Dominasi Amerika di Timur Tengah tidak lain hanya bagi menjaga kepentingan mereka terutama sekali menjaga keselamatan Israel. Sebarang tindakan oleh AS dan rakan sekutunya untuk masuk ke Syria secara terus tanpa melalui meja rundingan hendaklah dikutuk sekeras-kerasnya,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN