TERIMA KASIH SEMUA, JADIKAN KEKALAHAN MEDAN MUHASABAH UNTUK PRU-14


mat-sabu111. Pilihan Raya Kecil P093 Sungai Besar dan P067 Kuala Kangsar telah berakhir dengan keputusan kedua-duanya kita semua sudah maklumi. BN mengekalkan penguasaannya sementara Pakatan Harapan yang diwakili AMANAH masih belum berjaya dalam percubaan kali ini.

2. Bagaimanapun, dalam usia penubuhan AMANAH yang baru menginjak 9 bulan, berhadapan pula pertandingan lebih dua penjuru, kejayaan berada ditempat kedua mengekori BN di Sungai Besar dan ketiga di Kuala Kangsar dengan beza 800 undi dengan Pas, sudah cukup untuk dibanggakan.

3. Sekalipun tidak berjaya, penyertaan Parti AMANAH pada kedua-dua PRK ini sekurang-kurangnya telah memperkenalkan nama AMANAH bukan sahaja kepada para pengundi di kedua-dua parlimen, malah juga ke seluruh Malaysia melalui liputan media sepanjang tempoh itu. Di saat masih ada lagi penduduk Sungai Besar menganggap Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor, sudah tentu satu cabaran besar untuk AMANAH dikenali.

4. Dalam pilihan raya kecil ini, pertembungan sesama parti pembangkang antara Pakatan Harapan dengan Pas sudah tentu sedikit sebanyak menyumbang kekeliruan di kalangan pengundi. Sebaliknya di peringkat BN, mereka jelas dilihat padu menghadapi pembangkang.

5. Dengan segala yang berlaku, AMANAH dan Pakatan Harapan akan melakukan ‘postmortem’ dalam masa terdekat. Ini penting sebagai menilai dan mengatur semula strategi berhadapan BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang kita jangka tidak lama lagi.

6. Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera parti serta rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan daraipada PKR dan DAP dan NGO yang telah menunjukkan kesepaduan dan kebersamaan yang tinggi sepanjang pilihan raya ini. Ini satu permulaan yang baik dan momentum ini seharusnya dikekalkan sehingga PRU-14 nanti.

7. Tidak lupa juga kepada ahli, penyokong dan individu yang turut serta membantu dalam kapasiti masing-masing termasuk menghulur sumbangan bagi menjayakan gerak kerja sepanjang kempen. Hanya Allah sahaja mampu membalas segala jasa dan pengorbanan anda semua.

8. Apapun, bagi orang Islam, kita diajar untuk menerima ketentuan. Segala kelemahan kita akan baiki dari semasa ke semasa. Marilah kita berazam untuk terus bekerja kuat bagi masa-masa akan datang, dan selepas itu apa juga keputusan kita bertawakkal dan serahkan kepada SWT.

“HARAPAN BARU”

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara

20 JUN 2016