TANWIR USBU’II – PENCERAHAN MINGGUAN


02610005 copyMuqaddimah.

Adalah amat munasabah untuk memulakan tulisan Tanwir Usbu’ii atau Pencerahan Mingguan ini dengan penulisan berhubung peristiwa Hijrah Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi apabila tulisan ini dimulakan pada minggu pertama bulan Muharram tahun Hijriah 1437.

Satu kesesuaian yang di taufikkan Allah  SWT  di mana penulisan mingguan ini dimulakan dalam suasana berlangsungnya sambutan memperingati peristiwa Hijrah.


Renungan terhadap Ayat 41 dan 42 Surah An-Nahl.

Untuk tujuan ini saya ingin memilih ayat Quran yang kebetulannya dirujuk oleh Wanita Amanah dalam ucapan Selamat Tahun Baru Hijrah mereka, ia itu ayat 41 Surah An-Nahl. Turut  saya rujuk juga adalah ayat seterusnya ia itu ayat 42. Dua ayat ini cukup bermakna bagi kami yang berhijrah ke AMANAH.

Ayat dan maksudnya adalah seperti berikut :-

Untitled-4

“Orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dizalimi , Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik . Sesungguhnya pahala (amal mereka) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui”.

Untitled-6

“(Mereka itu ialah) orang yang bersabar dan berserah diri kepada Tuhannya ”.

Kupasan.

Para mufasirin ramai menyatakan ayat ini merujuk kepada peristiwa Hijrah yang pertama ia itu dari Mekah ke Habsyah yang berlaku pada tahun ke 5 kenabian. Kumpulan yang menyertai Hijarah ini seramai 16 orang termasuk 4 orang wanita. Di antara mereka adalah Othman bin Affan dan isterinya Ruqayyah puteri Rasulullah (SAW), Abdul Rahman bin Auf, Al Zubair bin Awwam dan Jaafar bin Abi Talib. Kemudian pada tahun 7 kenabian, sekali lagi berlaku hijrah ke Habsyah yang disertai oleh seramai sekitar 80 orang.

Hijrah itu adalah kerana kezaliman yang dialami orang-orang beriman di tangan kaum musyrikin yang terdiri dari saudara mara dan kenalan yang telah mereka hidup bersama untuk sekian lama . Mereka dizalimi atas kesedaran menerima risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW), seorang yang dikenali dan diiktiraf sekian lama oleh keseluruhan masyarakat Mekah sebagai orang yang benar dan beramanah. Atas sebab itu mereka gelar Nabi Mhammad (SAW) ‘Al-Amin’. Tetapi apabila Baginda mncul dengan riaslah Islam, Baginda difitnah dan dicaci sebagai pembohong, pengamal sihir, pembawa perpecahan dan sebagainya.

Dan hijrah itu dilakukan demi mencari keredhaan Allah dan menyelamatkan akidah dalam meneruskan perjuangan Islam. Bukan semata-mata untuk melarikan diri dari kezaliman yang dialami. Ini diisyaratkan dalam ayat 41 melalui penggunaan lafaz ‘fiil-Lah’.yang bermaksud “kerana Allah”. Atas sebab itu mereka dijanjikan kemenangan dunia dan akhirat.

Dan secara jelas janji Allah terhadap mereka telah Allah tunaikan dengan kemudiannya berlakunya hijrah baginda Rasulullah (SAW) bersama kaum muslimin ke Madinah dan akhirnya tercapai kemenangan dunia dan akhirat. Kesemuanya itu tercapai atas sebab kesabaran dalam mengharungi suasana mencabar yang diyakini sebagai ujian dari Allah dan sifat bertawakkal kepadaNya sambil berusaha.

Pengajaran dari ayat-ayat berkenaan.

Dalam menghadapi apa jua bentuk kezaliman kerana perjuangan Islam, penghijrahan mesti berpaksikan niat untuk kebaikan perjuangan Islam itu sendiri, ia itu demi mencari keredhaanNya. Sekiranya dipaksikan niat sebegitu, bukan kekecewaan atau kemarahan dan dendam terhadap kezaliman yang dilalui, maka Allah janjikan kemenangan dunia dan akhirat.

Tetapi janji Allah itu akan hanya dikurniakan dengan adanya kesabaran dan sikap penyerahan diri kepada Allah sambil berusaha dengan penuh kesabaran dan kegigihan.

Relevensi ayat-ayat ini terhadap anggota AMANAH.

Yang amat terasa dan mengusik jiwa diri saya apabila membaca 2 ayat ini ialah betapa kami yang berhijrah dari wadah perjuangan lama kepada AMANAH seakan-akan melalui pengalaman yang sepertimana diceritakan oleh Allah di dalam 2 ayat berkenaan. Ianya sama tetapi tidak serupa.

Kami dizalimi oleh saudara dan sahabat yang telah kami bersama untuk sekian lama, yang telah mengiktiraf kami sebagai golongan yang boleh dipercayai dengan berulang-kali diamanahkan kami dengan kepimpinan parti di pelbagai peringkat. Tiba-tiba kami diserang oleh kerana adanya agenda tertentu oleh golongan yang malangnya kebanyakkannya terdiri daripada ‘ulama’ dan para asatizah. Kami terpaksa melalui suasana cercaan dan fitnah serta tuduhan yang tidak berasas kerana ada yang inginkan perubahan haluan yang tidak kami persetujui .

Dalam suasana yang seperti itu, sehingga kepimpinan beberapa dekad dilupai dan tuduhan ‘sekular’, ‘liberal’, ‘munafik haraki’, ‘bencikan ulama’ dan sebagainya dilempar terhadap kami, maka penghijrahan ke sebuah wadah yang baru dianggap perlu. Ianya dilakukan bukan kerana kecewa, marah atau dendam terhadap kezaliman yang dilalui tetapi demi supaya perjuangan Islam dapat di teruskan melalui pendekatan yang lebih sesuai dan relevan dengan suasana politik semasa. Ianya dilakukan supaya usaha menampilkan Islam sebagai rahmatal-lil-alamiin dapat terus kami laksanakan sebagaimana pendekatan yang telah dibawa oleh pimpinan yang telah sama-sama diikuti ia itu Almarhum TGNA dan Almarhum UFN.

Dan ianya dilakukan dengan penuh keyakinan bahawa Allah mengetahui keadaan sebenar dan ketelusan niat kami, ia itu demi memenangkan agamaNya ke atas kezaliman dan kejahilan. Atas sebab itu kami berkeyakinan kami layak mengharapkan kemenangan yang dijanjikan Allah dalam ayat tadi. Namun ianya akan hanya ditunaikan Allah sekiranya kami berusaha dengan sabar dan gigih sambil bertawakkal kepadaNya.

Kesabaran perlu untuk mengharungi segala pahit getir yang sedang dan bakal menimpa seperti dalam menghadapi tuduhan-tuduhan dan fitnah rambang dan jahat seperti ‘alat DAP’, pengkhianat dan sebagainya. Kesabaran ini hendaklah di sertai dengan keyakinan bahawa Allah Maha Adil lagi Maha Mengentahui sambil disertai dengan gerak-kerja yang fokus dan kommitted dengan segala perancangan dan gerak kerja parti AMANAH sebagai sebuah wadah perjuangan Islam..

Semoga rakan-rakan saya yang bersama berhijrah ke AMANAH, setelah wadah lama dikuasai golongan yang berkepentingan dan beragenda, akan mendapat ketenangan dan terubat hati-hati mereka dengan mngambil pengajaran daripada 2 ayat di atas. Semoga ianya menambahkan keyakinan akan kebenaran tindakan kita bersama dan mengukuhkan pendirian kita dalam mengharungi perjuangan ini seterusnya.

Bagi yang belum berhijrah, semoga ayat-ayat ini mendatangkan keinsafan dan kesedaran. Yang terpenting dalam mendukung perjuangan Islam adalah keredhaanNya dan beramanah dalam memperjuangkan risalahNya. Ujian yang dilalui adalah samada istiqamah dengan perjuangan Islam dan pendekatan yang berpaksikan keadilan dan kerahmatan Allah terhadap manusia sejagat. Bukannya beristqamah sama ada terhadap wadah mahupun individu tertentu. Apabila mesej Islam dicemari dengan pendewaan terhadap manusia dan golongan, maka penghijrahan demi Allah adalah sesuatu yang wajar dan perlu supaya mesej Islam sebenar dapat disampaikan.

Selamat menyambut Tahun Baru Hijriah 1437.

Ahmad Awang,
Penasihat Umum,
Parti Amanah Negara.