'

SOAL JAWAB LISAN MP KUALA KRAI

dr hattaDr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan apakah tindakan yang dibuat bagi mencegah kegiatan mengemis dan meminta derma di restoran dan kaki lima bank terutama bandar-bandar yang semakin menular sekarang terutama yang melibatkan sekolah tahfiz dan madrasah agama.

JAWAPAN:

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat [Datuk Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Mohd. Dun]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai.
Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Antara tindakan yang diambil oleh kementerian bagi mencegah kegiatan mengemis ialah pertama operasi menyelamat pengemis. Kementerian melalui JKM ataupun Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa menjalankan operasi berjadual adhoc dan bersepadu dengan agensi yang terlibat seperti pihak berkuasa tempatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak hospital untuk menyelamatkan orang papa. Setiap agensi akan bertindak mengikut bidang kuasa agensi masing-masing.
Mulai Januari hingga Jun 2015, sebanyak 934 operasi telah dijalankan dan 770 orang pengemis telah diselamatkan. Daripada jumlah tersebut seramai 72 orang adalah kanak-kanak. Pengemis-pengemis ini diambil tindakan di bawah Akta Orang Papa 1977 dan tindakan mengikut agensi penguatkuasaan lain seperti polis, imigresen dan AADK.
Bagi kes pengemisan melibatkan orang dewasa ia akan dikendalikan mengikut peruntukan di bawah Akta Orang Papa 1977, manakala kes pengemisan melibatkan kanak-kanak akan dikendalikan mengikut Akta Kanak-kanak 2001. Kedua, pemantauan aktiviti mengemis.
JKM menjalankan aktiviti pemantauan berkala di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti pengemisan seperti pusat membeli-belah, restoran, pasar sehari, pasar malam, kaki lima bank dan bangunan perniagaan. Sekiranya masih terdapat pengemis, mereka akan diselamatkan dan diserahkan kepada agensi yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Ketiga, program kesedaran. Kementerian juga meningkatkan kesedaran awam untuk tidak menggalakkan aktiviti pengemisan melalui program-program advokasi dengan mengedarkan poster, banting, risalah dan sebagainya. Kementerian berharap masyarakat dapat menyalurkan sumbangan atau derma mereka kepada pihak-pihak bertauliah seperti pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang berdaftar, rumah ibadat dan pusat jagaan yang berdaftar dengan JKM.
Keempat, jawatankuasa bagi menangani isu pengemisan. JKM juga bertindak sebagai urus setia kepada jawatankuasa bagi menangani isu pengemisan di peringkat nasional, negeri dan daerah. Jawatankuasa ini berperanan untuk menyelaras program serta merangka tindakan bersepadu antara agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan sukarela yang berkaitan. Isu dan perkara berbangkit berkaitan pengemisan dibincangkan bersama bagi mencari pendekatan yang terbaik menangani isu ini.
Kelima, task force kutipan derma. JKM juga telah menubuhkan task force berkaitan isu eksploitasi kanak-kanak di kalangan kanak-kanak melalui kutipan derma di Malaysia yang telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Shamsiah Abdul Rahman Ahli Majlis Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-kanak Kebangsaan pada 7 Mei 2014.
Tujuan task force ini adalah untuk membincangkan isu kutipan derma di kalangan kanak-kanak yang berlaku di Malaysia terutamanya yang melibatkan golongan daripada sekolah tahfiz dan di kalangan kanak-kanak Rohingya.
Selain itu JAKIM juga telah bekerjasama dengan JKM dan beberapa agensi kerajaan serta swasta untuk membangunkan pelan tindakan menangani isu eksploitasi kanak-kanak melalui kutipan derma pada 10 Jun 2013. Inisiatif ini diambil kerana terdapat juga kanak-kanak yang menemui orang ramai untuk mendapatkan derma dipercayai daripada pelajar tahfiz. Pelan tindakan tersebut dijadikan sebagai salah satu dokumen rujukan bagi menyelaraskan tindakan dengan beberapa agensi yang mempunyai bidang kuasa bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak termasuklah JKM, PDRM, PLUS, Jabatan Agama Islam Negeri dan lain-lain.
Selain KPWKM, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga melalui undang-undang kecil mereka boleh mengambil tindakan sesuai dalam membanteras isu pengemisan dari terus berleluasa di kawasan pentadbiran masing-masing.
Tuan Yang di-Pertua, isu berkaitan agama Islam termasuk tindakan terhadap sekolah tahfiz dan madrasah agama yang mempergunakan khidmat kanak-kanak untuk mengutip derma adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Justeru kerajaan negeri diminta untuk samasama menangani masalah serta isu ini. Terima kasih.

 

SOALAN TAMBAHAN
Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri yang bagi saya jawapan diberikan sangat menyeluruh dan all encomposing dengan izin. Ada dakwaan bahawa operasi pengemisan yang dibuat oleh kanak-kanak ini bukan hanya daripada institusi-institusi agama seperti maahad tahfiz ataupun madrasah tetapi adalah dirancang dan dilaksanakan oleh sindiket-sindiket yang tersusun dan teratur.
Soalannya, dalam jawapan tadi tidak ada disebut sama ada, ada mana-mana pihak yang telah dapat dikesan didakwa atas usaha-usaha sindiket mengemis ini. Jadi soalan saya, benarkah ada sindiket ini? dan jika benar adakah tindakan-tindakan telah diambil dan kalau ada tindakan undang-undang, kalau boleh dinyatakan. Kita rasa ini menunjukkan bertambah seriusnya usaha kerajaan untuk membanteras isu mengemis. Terima kasih.

JAWAPAN
Datuk Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Mohd. Dun:
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Sebenarnya ada banyak orang yang mengatakan ada sindiket, ada sindiket tetapi bila kita mengadakan Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama-sama dengan agensi yang lain mengadakan operasi-operasi ini yang berterusan, susah sangat untuk mendapatkan evidence ataupun bukti yang ada sindiket yang terlibat.
Oleh sebab itulah, kita lihat setakat ini apa yang kita buat apabila kita mengadakan operasi mereka yang terlibat kita akan selamatkan. Kalau mereka ini berumur di bawah 60 tahun, maka kita bawa ke desa bina diri untuk kita latih mereka, ajar mereka supaya mereka mempunyai kemahiran dan dapat kembali bekerja dan kembali kepada masyarakat.
Sekiranya mereka ini berumur 60 tahun ke atas, maka kita bawa pula ke rumah-rumah Seri Kenangan kita di mana mereka kita akan jaga selama tiga tahun dan sekiranya dalam tempoh masa itu ada ahli keluarga mereka yang boleh mengambil mereka kembali ke pangkuan keluarga, maka kita akan kembalikan ataupun jika mereka menunjukkan kesungguhan untuk bekerja, maka kita bebaskan.
Akan tetapi berkaitan dengan tuduhan yang ada sindiket ini, kita ingin sangatlah kalau ada pihak yang boleh datang come forward kepada kita dan kepada pihak polis untuk menunjukkan bukti-bukti sindiket ini.
Jika ini dapat ditunjukkan, maka pihak berkuasa akan mengambil tindakan Insya-Allah. Akan tetapi dalam masa yang sama kita akan meneruskan kerja kita, operasi kita untuk menyelamatkan pengemis ini. Terima kasih

 

Sumber: Cabutan penyata rasmi parlimen 29/10/2015

CATEGORIES
TAGS