'

Sejarah Penubuhan AMANAH

SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN PARTI AMANAH NEGARA

Ia bermula apabila Majlis Syura Pas mengesahkan hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan yang telah mengakibatkan Pakatan Rakyat berkubur.

Keputusan itu kemudiannnya menyebabkan wujud dua kumpulan pemimpin dalam Pas dengan satu kumpulan dipelopori ulama muda mahu Pas bersendirian, dan satu lagi kumpulan dipelopori sebahagian besarnya oleh golongan profesional dan progresif, yang mahu hubungan dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat dikekalkan.

Kumpulan progresif ini juga mahu meneruskan pendekatan politik yang telah dipelopori oleh Tuan Guru Datuk Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu bekerjasama dengan PKR dan Dap.

Sejarah merekodkan bahawa sokongan rakyat terhadap Pas paling menyerlah pada PRU13 khususnya sokongan bukan Islam kesan kerjasama antara ketiga-tiga parti ini.

Ekoran perbezaan aliran pemikiran ini, kumpulan progresif yang turut disertai oleh ulama dan aktivs politik ini dituduh tidak wala’, munafik, pengkhianat oleh kumpulan satu lagi sehingga pada Muktamar Pas di Kuala Selangor pada Jun 2015, kumpulan ini disingkir secara terancang oleh kumpulan ulama muda ini.

Keputusan muktamar yang memperlihatkan pimpinan progresif ‘gugur setandan’ itu mencetus rasa tidak puas hati di kalangan ahli dan aktivis parti di peringkat bawahan yang kemudian menganjurkan Wacana Melawati (sempena mengambil nama tempat pertemuan di Taman Melawati, Kuala Lumpur) pada tarikh 14 Jun 2015.

Pada perhimpunan ini mereka telah membuat resolusi mendesak pemimpin yang disingkir pada muktamar Pas lalu untuk menubuhkan satu gerakan baru. Maka bermula detik itu, satu perjalanan perjuangan baru bermula.

Berikut adalah kronologi sejarah penubuhan Parti Amanah Negara (AMANAH):

4 Jun 2015 – PENYINGKIRAN KUMPULAN PROGRESIF
Penyingkiran secara beramai-ramai pemimpin progresif yang menyokong pemikiran tajdid telah dilakukan dalam Muktamar Pas kali ke 60 di Kuala Selangor.

14 Jun 2015 – DEKLARASI MELAWATI
Satu pertemuan di Taman Melawati, Kuala Lumpur yang disusun oleh sekumpulan aktivis Pas dari seluruh negara yang tidak berpuas hati dengan keputusan muktamar. Pada pertemuan ini mereka secara konsensus membuat resolusi mendesak pemimpin dari kumpulan progresif ini menubuhkan parti baharu yang berteraskan Islam, merangkumi ciri-ciri progresif, demokratik, moderat dan berintegriti yang mendokong Pakatan Rakyat.

16 Jun 2015 – HIMPUNAN BAKRI
Dua hari selepas Deklarasi Melawati, satu program “Jasamu di Kenang” telah dianjurkan oleh Pas Bakri, Johor untuk memberi penghargaan kepada 18 orang bekas pimpinan progresif Pas yang telah disingkirkan. Ketika bekas pimpinan berucap, suara dari hadirin tidak putus-putus melaungkan agar sebuah parti baru yang berasaskan Islam dibentuk untuk memastikan agenda untuk menumbangkan Barisan Nasional dapat diteruskan. Laungan untuk menubuhkan sebuah parti baharu semakin kuat kedengaran sehingga dapat disimpulkan itulah kehendak sebahagian besar hadirin pada malam tersebut.

13 Julai 2015 – PERLANCARAN GERAKAN HARAPAN BARU
Satu sidang media telah diadakan untuk melancarkan Gerakan Harapan Baru yang telah diadakan di hotel Vistana, Kuala Lumpur. Objektif utama ialah untuk menggerakkan semula kerjasama politik tahaluf siyasi dan menubuhkan sebuah parti baharu yang berasaskan Islam. Slogan Amanah, Progresif dan Peduli diperkenalkan. Pertemuan dengan NGO-NGO turut diadakan.

(Sila baca selanjutnya di: Majlis Pelancaran Gerakan Harapan Baru)

19 Julai 2015 – SIRI JELAJAH HARAPAN BARU
Siri Jelajah ini bermula di Kota Bharu, Kelantan dan digerakkan di seluruh negara. Sambutan rakyat, ahli dan aktivis sangat luar biasa dan siri jelajah ini turut disertai oleh segenap lapisan masyarakat. Rata-rata rakyat kecewa dengan berkuburnya Pakatan Rakyat dan inginkn satu parti baharu berasaskan Islam untuk membawa pemikiran tajdid ini direalisasikan.

08 Ogos 2015 – SIDANG ANAK MUDA
Gerakan Anak Muda Harapan Baru (GAMHB) telah mengadakan satu persidangan yang telah diwakili oleh pelbagai segmen anak muda. Mereka membincangkan pelbagai isu dan masalah negara. Lima resolusi bertindak dan lima tuntutan telah dihasilkan. Pada sidang ini juga, satu Jawatankuasa Sidang Anak Muda Selamatkan Malaysia telah berjaya dibentuk.

15 Ogos 2015 – NADWAH ULAMA’ LI NAHDHAH JADIDAH (NUNJI)
Satu persidangan yang menghimpunkan ulama dan asatizah dari dalam dan luar negara membincangkan isu Fiqh Islami dan Kenegaraan ke arah melahirkan Fiqh Malaysia berpandukan Maqasid Syariah. Kemajmukan kaum dan realiti semasa masyarakat antara ciri-ciri Fiqh Malaysia yang cuba dihasilkan sebagai rujukan kepada parti baharu yang bakal ditubuhkan dalam pendekatannya memperjuangkan Islam.

31 Ogos 2015 – AMBIL ALIH PARTI PEKERJA-PEKERJA MALAYSIA

Sidang media kedua telah diadakan di Hotel Vistana, Kuala Lumpur memaklumkan kejayaan mengambil alih sebuah parti politik sedia ada melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa. Perlembagaan dan nama parti tersebut akan ditukar kepada Parti Amanah Negara (AMANAH). Dasar perjuangannya adalah Islam.

16 September 2015 – PERLANCARAN PERDANA PARTI AMANAH NEGARA
Satu majlis pelancaran gilang gemilang melancarkan Parti Amanah Negara (AMANAH) telah diadakan di IDCC, Shah Alam, Selangor. Ia sekaligus melahirkan sebuah lagi parti Islam di negara ini yang bersifat inklusif dan bekerjasama dengan beberapa parti politik pembangkang lain serta NGO-NGO sedia ada untuk membawa perubahan ke arah kebaikan kepada Malaysia.

Sila Baca: Majlis Pelancaran Parti Amanah Negara

11 April 2016 – SERTAI PILIHANRAYA PERTAMA

Amanah sertai pilihanraya pertama melalui PRN Negeri Sarawak Ke-11 Sebagai komponan Pakatan Rakyat dengan meletakkan 13 Calon yang terdiri dari calon Melayu, Cina dan Iban sebagai simbol pernyetaan semua kaum dalam AMANAH. Pada pilihanraya ini AMANAH melancarkan 7 Tawaran Amanah untuk sarawak. Dalam pilihanraya ini juga AMANAH memperkenalkan simbol Tangan berbentuk ‘A’ sebagai simbol sokongan kepada AMANAH. Walaupun AMANAH kalah disemua kerusi yang dipertandingkan, tetapi AMANAH berjaya menjadikan PRN Sarawak sebagai medan untuk memperkenalkan Parti baru. Baca selanjutnya di PRN Sarawak

 

Unit Media dan Komunikasi
Parti Amanah Negara

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS