'

RESOLUSI SIDANG ANAK MUDA – “WISHLIST” BAJET 2016

20151022030430

 

Sidang Anak Muda berkenaan Bajet 2016 yang telah berlangsung pada 20 Oktober 2015, telah bersetuju untuk mengemukakan 9 desakan berikut kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak:

1) Kerajaan perlu mengambil langkah segera mengurangkan ketirisan dan pembaziran dalam usaha mengurangkan beban hutang negara, terutama dengan adanya hasil tambahan GST.

2) Inisiatif perlu dimulakan di setiap peringkat untuk membangun model ekonomi baru yang tidak hanya menjadikan wang dan pertumbuhan material sebagai kayu ukur; sebaliknya didasarkan atas nilai-nilai Islam contohnya dengan memberi insentif untuk mengembangkan institusi waqaf.

3) Anak muda mahukan budaya kolektif dan kerjasama serta menolak budaya individualistik dan kronisme yang diakibatkan oleh perlumbaan mengejar pertumbuhan ekonomi yang pesat.

4) Kerajaan perlu serius untuk memastikan pendidikan yang berkualiti dan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat; pendidikan yang diharapkan adalah pendidikan yang mampu milik dengan kualiti yang bertaraf antarabangsa.

5) Tumpuan perlu diberi kepada pembangunan keluarga muda secara menyeluruh, dengan melihat aspek memulakan perkahwinan, pemilikan rumah, kos kesihatan dan kos hidup harian.

6) Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar perlu dirapatkan untuk mengelakkan masalah pembangunan tertumpu di Lembah Klang.

7) Kerajaan perlu merangka polisi, membuat pelan tindakan dan memberi peruntukan untuk memastikan kualiti alam sekitar tidak diabaikan dalam usaha pembangunan yang pesat; tumpuan perlu diberi kepada masalah kualiti udara, pembuangan sampah yang dan lain-lain masalah alam sekitar yang berkaitan.

8) Kerajaan perlu merancang polisi jangka panjang untuk membina masyarakat yang berdikari, berkeusahawanan dan tidak terlalu bergantung pada kerajaan.

9) Kerajaan wajar memberi peruntukan kepada pembangunan pendidikan ekonomi dan kewangan untuk melahirkan generasi yang celik ekonomi dan bebas daripada masalah pengurusan kewangan.

PEMUDA AMANAH NASIONAL

22 Oktober 2015

www.amanahnegara.org

CATEGORIES
TAGS