'

‘Qaradhawi tak haramkan parti Islam baru AMANAH’

Vice President of Pan-Malaysian Islamic Party (PAS) Salahuddin Ayub answers a question during a dialog session at the Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall in Kuala Lumpur on October 2, 2013. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Usaha Parti Amanah Negara (AMANAH) melobi jaringan Islam antarabangsa mencapai langkah kanan selepas pertemuan dengan tokoh sarjana Islam dunia Yusuf Al-Qaradawi.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata pemimpin kanan mereka Datuk Dr Mujahid Yusuf telah bertemu dengan Al-Qaradawi di Qatar pada Sabtu lalu.

“Dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain daripada PAS,” kata Salahuddin dalam satu kenyataan malam tadi.

Bekas naib presiden PAS itu juga berkata AMANAH berbincang dengan Al-Qaradawi berkaitan “kejelasan fikrah Islam” kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal ISIS atau seumpamanya.

“Lalu Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi menyokong usaha untuk membetuli salah faham ini di kalangan pengamal politik Islam,” katanya lagi.

AMANAH dalam usaha memperkenalkan parti Islam baru itu di peringkat antarabangsa, khususnya di kalangan gerakan Islam antara 13 hingga 18 Oktober lalu.

Selain Salahuddin dan Mujahid, turut menyertai mereka Timbalan Penasihat Umum AMANAH Abdul Ghani Shamsuddin dan Bendahari Asmuni Awi.

Misi mereka bermula dengan pertemuan bersama Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia Dr Ali Al-Qaradaghi pada 13 Oktober, yang menjelaskan kenapa AMANAH perlu wujud dalam persada politik Malaysia.

“Perbincangan kami berlangsung dalam suasana amat mesra dengan saling bertukar pandangan dan memperjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan mengenai AMANAH,” kata Salahuddin.

Manakala dalam pertemuan dengan Sheikh Dr Ibrahim Munir, setiausaha agung Ikhwanul Muslimin itu mencadangkan supaya usaha mencapai persefahaman di kalangan parti politik Islam, termasuk PAS digerakkan.

Semua itu supaya politik Islam dapat diperkukuhkan di Malaysia, kata Salahuddin memetik pesanan Ibrahim.

Justeru, kata Salahuddin, AMANAH terbuka untuk bertemu, dan komited untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi kepentingan perjuangan Islam dan umah.

“AMANAH juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada tokoh-tokoh ulama dan gerakan Islam tersohor dunia yang menunjukkan sikap terpuji dengan mengambil pendekatan terbuka, dan memberi peluang untuk berbincang dengan AMANAH dan bukan mengambil pendekatan mencerca ataupun menghukum sewenang-wenangnya,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

CATEGORIES
TAGS