'

PPM dibarisi pemimpin berpengalaman

image (2)

ALOR SETAR – Parti Pekerja Malaysia (PPM) Kedah dibarisi pemimpin berpengalaman dan mantap untuk mentadbir Kedah sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Keyakinan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Penaja PPM Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang percaya bahawa lebih ramai lagi bekas pemimpin Pas mahupun Umno bakal menyertai parti itu dalam masa terdekat.

“Saya yakin jawatankuasa penaja yang dibentuk mempunyai kekuatan tersendiri, malah mampu mentadbir Kedah sekalipun jika diberi mandat.

“Kita dibarisi pimpinan yang berpengaruh termasuk daripada golongan profesional,” katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam.

Menurutnya, antara tokoh Pas yang kini menyertai PPM termasuk bekas Adun Kupang, Johari Abdullah; bekas Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar; bekas Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Kedah, Dr Rohani Muttalib; bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kawasan Kuala Kedah, Aris Awang; bekas Ketua Penerangan Pas kawasan Kuala Kedah, Ridzwan Abu Bakar dan bekas Naib Yang Dipertua Pas kawasan Alor Setar, Adnan Saad.

Dr Ismail berkata, sebahagian besar jawatankuasa penaja PPM adalah kesinambungan daripada gerakan Harapan Baru yang bakal dibuat penjenamaan semula di semua peringkat.

“Kita akan mengadakan mesyuarat agung untuk proses penjenamaan semula ini.

“Selepas pengambilalihan bermula 31 Ogos lalu, selama hampir dua bulan kami bergerak atas nama Harapan Baru dan selepas PPM ditubuhkan, keahlian parti pun bermula,” katanya.

Katanya, pelancaran PPM peringkat negeri pula akan diadakan 9 September di premis baharu yang akan beroperasi di Stargate.

“Penasihat umum PPM, Ahmad Awang dan timbalannya, Abdul Ghani Shamsuddin dijangka hadir.

“Kita juga akan serahkan borang keahlian sebanyak 1,500 yang telah diisi sejak Harapan Baru digerakkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan 500 ahli baharu setiap bulan didaftarkan berikutan mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita tidak paksa, semua sukarela jadi ahli. Mereka yang sokong PR akan jadi sebahagian daripada komponen kita, termasuk dalam kalangan Umno dan bukan Islam.

“Yang berlaku kini adalah gelombang yang mahukan perubahan, selain menggambarkan kehendak rakyat. Saya yakin PPM diterima ramai kerana pendekatan kita berbeza dengan Pas,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan PPM sekadar wadah politik tanpa ciri-ciri jemaah Islam sebenar, Dr Ismail berkata, pandangan setiap pemimpin berbeza mengikut perspektif masing-masing.

“Kita perlu lihat perlembagaan masing-masing. Mungkin di peringkat awal, parti baharu ini perlu fokus pada persiapan pilihan raya umum yang akan berlaku dalam tempoh dua tahun.

“Namun kita tidak pinggirkan perkara lain, dengan wujudkan pelbagai portfolio,” katanya.

Dr Ismail turut menolak andaian PPM diwujudkan atas dasar rasa kecewa dan kerakusan kuasa politik oleh pemimpin serpihan Pas.

“Itu mungkin pandangan sesetengah pihak, tetapi itu bukan alasan mengapa PPM ditubuhkan.

“Ia diwujudkan selepas melihat kepada keperluan semasa selain pendekatan yang tidak dibawa oleh Pas terutama berkaitan hubungan dalam PR. Kekosongan itu perlu diambil alih oleh PPM,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian

TAGS