PERJALANAN 40 HARI PARTI AMANAH NEGARA


unnamed1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan kepada Allah SWT di atas kemudahan yang telah diberikan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) sepanjang 40 hari sebelum ini, sehingga banyak kemajuan telah dapat dicapai. Hari ini genap 44 hari Parti AMANAH berada dipersada politik tanah air selepas diumumkan pada 31 Ogos lalu.

2. Saya sifatkan kemajuan yang dicapai Parti AMANAH dalam masa 40 hari ini sangat luar biasa. Dalam tempoh singkat ini, kita telah berjaya menubuhkan jawatankuasa protem di semua negeri seluruh Malaysia, juga jawatankuasa protem di kawasan-kawasan di seluruh negeri.

3. Setakat hari ini, parti AMANAH juga sedang memproses lebih 50,000 permohonan keahlian. Bagi kami, ia satu jumlah yang sangat membanggakan sekaligus menunjukkan sambutan dan minat yang amat tinggi di kalangan masyarakat di luar sana terhadap parti AMANAH. Dengan sambutan ini, kami sangat positif untuk mencapai sasaran 100,000 ahli menjelang 2016.

4. Selain itu, parti AMANAH  juga telah berjaya mendapatkan pejabat operasinya, beralamat di Jalan Sri Utara, Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, yang kita namakan sebagai Wisma AMANAH Negara. Wisma ini akan dilancarkan secara rasmi pada satu majlis khas pada 7 November 2015 akan datang. Segala urusan dan operasi di Wisma AMANAH ini, dikendalikan oleh sekumpulan kakitangan yang terdiri daripada mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.

5. Untuk makluman, kita juga telah membuat perlantikan 3 anggota jawatankuasa untuk portfolio utama seperti berikut; Yb. Khalid Abdul Samad (Pengarah Komunikasi), Dr Dzulkefly Ahmad (Pengarah Strategi), dan Yb. Dr. Mohd Hatta Ramli (Pengarah Pilihan Raya). Selain itu, kita juga telah bersetuju melantik Wan Aishah Wan Ariffin ke Jawatankuasa AMANAH Nasional, sebagai mewakili golongan seniman.

6. Untuk fasa seterusnya, Parti AMANAH sedang bergerak hebat untuk mewujudkan jawatankuasa protem di peringkat cawangan pula sasaran minima 500 cawangan di seluruh negara. Pemimpin AMANAH di peringkat nasional pula akan turun ke negeri-negeri dari Perlis hingga ke Sabah dalam menjayakan usaha ini bermula 29 Oktober ini.

7. Pindaan dan penambahbaikkan terhadap perlembagaan parti juga sedang dilakukan secara serentak bagi memperkemaskan lagi parti ini. Kami sekali lagi mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang sangat profesional dalam tugasan mereka sehingga nama, logo, bendera dan struktur Parti AMANAH Negara diluluskan pada 1 Oktober lalu.

8. Sementara itu, beberapa pimpinan utama termasuk Presiden Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan beberapa AJK Nasional yang lain minggu ini menghadiri beberapa persidangan ahli parlimen antarabangsa di luar negara termasuk mengadakan kunjungan hormat kepada beberapa tokoh dunia dan pemimpin pergerakan Islam antarabangsa untuk memperkenalkan parti baharu ini.

9. Akhir sekali, sebagai pendokong awal Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan, kami daripada parti AMANAH akan memberi keutamaan kepada usaha memantapkan muafakat politik baru ini. Untuk itu, saya sebagai Setiausaha Agung parti, bersama beberapa lagi AJK Nasional parti, akan menyertai mesyuarat pertama sekretariat Pakatan Harapan yang akan diadakan pada Khamis ini.

“Harapan Baru”
“Islam Rahmat Untuk Semua”

HJ MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha AMANAH
13 Oktober 2015
29 Zulhijjah 1436