Pembentangan Bajet 2016 yang bertemakan ‘Pro-Rakyat’ sekali lagi memasuki senarai janji yang dimungkiri Perdana Menteri Najib Razak apabila saban hari, kenaikan demi kenaikan harga barangan dan kos sara hidup secara berterusan atas nama penyelarasan tanpa adanya usaha proaktif dari kerajaan untuk menangani masalah bebanan ini dari pundak rakyat.
Terbaru, pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar tentang kelulusan kabinet terhadap kertas kerja cadangan penyelarasan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel adalah bukti nyata Najib Razak tidak beramanah dengan janji yang dibuatnya.
Atas nama penyelarasan, kadar tambang perkhidmatan LRT, monorel dan Komuter akan mengalami peningkatan, seawal-awalnya dijangka bermula 2 Disember. Peningkatan kadar tambang untuk pengguna Lembah Klang, nyata bukanlah suatu tindakan yang bijak oleh kerajaan dalam situasi ekonomi yang serba mendesak hari ini.
Pemuda AMANAH memberi amaran, sebarang pemotongan subsidi terhadap pengangkutan awam, sama sekali tidak berkesan terhadap usaha kerajaan untuk menggalakkan orang awam menggunakan perkhidmatan kenderaan awam, bahkan tindakan itu tidak lebih akan terus memaksa rakyat hidup dalam keadaan ekonomi yang semakin menjerut leher mereka sendiri.
Pemuda AMANAH berpandangan, langkah penyelarasan sebagai alasan berlapik untuk terus memerah duit rakyat adalah tindakan tidak waras, sementelah baru sahaja sebulan yang lepas Prasarana Malaysia Bhd. mengumumkan jangkaan peningkatan pendapatan sebanyak 30% pada tahun hadapan hasil Program Hak Penamaan Stesen.
Mengambil kira kedudukan ekonomi semasa, dan pengumuman Perdana Menteri sendiri dalam Bajet 2016 mengenai jumlah kutipan GST yang menjangkaui unjuran awal, Pemuda AMANAH mendesak Perdana Menteri dan kabinet untuk membuat penilaian semula terhadap kelulusan kertas kerja penyelarasan kadar tambang perkhidmatan kenderaan awam di Lembah Klang.
Tindakan kerajaan berterusan menabur falasi kononnya kenaikan kadar tambang bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kenderaan awam, seterusnya menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, jelas merupakan satu alasan yang langsung tidak boleh diterima rakyat.
Tiada justifikasi lain yang lebih munasabah dalam isu ini, selain dari Pemuda AMANAH menuntut kerajaan agar beramanah terhadap janji yang dibuat, dan seterusnya benar-benar berusaha untuk meleraikan bebanan kos sara hidup yang mencengkam setiap denyut urat dan nadi rakyat terbanyak saban hari.
MUHAMAD AZAN SAFAR
Naib Ketua (Pembangunan Masyarakat)
Pemuda AMANAH Nasional
3 November 2015
www.amanah.org.my