Penolakan Bajet 2016 oleh Pakatan Harapan – Keadaan sebenar


Bajet-2016

1. Penolakan bajet oleh pihak pembangkang adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi berparlimen. Ianya bukan merupakan perkara yang aneh mahupun baru. Ianya pernah dilakukan oleh Pakatan Rakyat termasuk ahli-ahli Parlimen PAS sebelum ini. Ianya dilakukan melalui tindakan belah bahagi selepas sahaja bajet dibentangkan. Walaupun ianya ditolak pembangkang, undi menyokong dari Ahli Parlimen BN melebihi undi pembangkang dan dengan itu ianya diluluskan.

2. Sikap berkecuali seperti yang dicadangkan PAS tidak wajar diambil oleh pihak pembangkang dewasa ini. Ini adalah kerana bajet itu merupakan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan BN yang tidak dipersetujui. Ini bukan sekadar aspek cara kutipan hasil tetapi juga keutamaan dalam penggunaan wang rakyat. Oleh itu ianya ditolak dan ditentang. Sikap berkecuali tidak akan membantu rakyat terbanyak dan menjadikan kehadiran di Parlimen tidak bermakna.

3. Tahun ini keadaannya sedikit berbeza. Ini adalah kerana ada kemungkinan bajet akan ditolak apabila undi sokongan dari Ahli Parlimen BN dikatakan tidak padu dan ada yang diberitakan akan menolaknya.

4. Kemungkinan bajet ditolak menimbulkan banyak reaksi dan kekeliruan. Antaranya adalah tanggapan bahawa kakitangan kerajaan tidak akan menerima gaji, hospital tidak akan menerima bekalan ubat-ubatan dan sebagainya. Dikatakan akan berlaku ‘government lock-down’ iaitu keadaan di mana kerajaan tidak dapat berfungsi.

5. Hakikatnya bukan itu yang akan terhasil. Sebaliknya, penolakan bajet akan menjadi pukulan hebat terhadap DS Najib dan kabinetnya. Ianya boleh menjadi undi tidak percaya terhadap Najib. Kemungkinan besar usul undi tidak percaya yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang tidak akan diangkat untuk perbahasan oleh pihak kerajaan. Oleh itu tindakan penolakan bajet boleh menjadi penggantinya.

6. Najib akan terpaksa sama ada membentangkan bajet alternatif yang boleh dipersetujui oleh Parlimen atau meletak jawatan dan memberi laluan kepada pembentukan kabinet baru. Pakatan Harapan bersedia untuk menghadapi dua kemungkinan ini.

7. Memandangkan pengundian terhadap bajet akan dilakukan pada 16hb November, tempoh masa untuk membentangkan kembali bajet atau membentuk kabinet baru untuk menyediakan bajet baru, adalah lebih dari mencukupi.

8. Alternatif ketiga, sepertimana yang disebut oleh YB Dato Mahfuz Omar, ialah DS Najib boleh bubarkan Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya peringkat Parlimen. Pembubaran Parlimen boleh dilakukan selepas terlebih dahulu meluluskan bajet untuk tempoh 3 bulan yang sekadar bertujuan menjamin perjalanan kerajaan. Dalam tempoh 3 bulan itu, pihak yang memenangi pilihan raya Parlimen telah membentuk kerajaan dan menyediakan bajet baru untuk diluluskan Parlimen.

9. Penolakan bajet harus dilihat sebagai peluang keemasan untuk membetulkan bajet yang membebankan rakyat. Sekiranya bajet baru dikemukakan, mungkin akan dapat memasukkan pindaan seperti yang diingini. Kadar GST dapat disifarkan, pembasmian rasuah dapat diutamakan, usaha kronisme dapat ditamatkan dan subsidi serta bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat dapat dilaksanakan.

10. Sekiranya kesan penolakan bajet adalah semestinya ‘government lock down’, sudah pasti tiada siapa akan menolak bajet! Dalam keadaan itu amalan membahas dan melulus bajet menjadi amalan yang tidak bermakna kerana semua akan ‘terpaksa’ melulskannya! Maka pemahaman sedemikian akan menjadikan Parlimen ‘rubber stamp’ yang memungkinkan kerajaan BN meluluskan apa sahaja yang diinginkan.

11. Kami syorkan supaya jangan ada mana-mana pihak cuba menimbulkan keresahan dan ketakutan di kalangan rakyat terhadap tindakan menolak bajet. Usaha itu akan dilihat sebagai tindakan membela DS Najib. Kalau ada yang ingin melakukannya, biarlah ianya dilakukan oleh pihak BN. Sudah pasti jentera dan kelengkapan BN mencukupi untuk kerja-kerja sedemikian.
Sekian terima kasih.
YB Dato Johari Abdul
Ketua Whip Ahli Parlimen PKR

YB Loke Siew Fook
Ketua Whip Ahli Parlimen DAP

YB Khalid Abd Samad
Ketua Whip Ahli Parlimen AMANAH

11 November 2015