'

PENJELASAN KES SAMAN RM200,000

ANUAR-TAHIR-AMANAH_LAUNCH_160915_TMISETH_031. Parti Amanah Negara (AMANAH) terpanggil untuk membuat penjelasan berhubung keputusan mahkmah yang mengarahkan Tuan Hj Mohamad Sabu membayar RM200,000 kepada bekas Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar atau berdepan risiko muflis.

2. Ingin saya jelaskan bahawa kes tersebut adalah berkaitan laporan yang disiarkan akhbar Harakah edisi Jumaat, 1-3 Februari 2013 berhubung isu “Projek IC Sabah”, selepas beliau ditemu bual oleh akhbar itu pada 29 Januari 2013.

3. Malah turut disaman dalam kes itu adalah bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang juga Pengerusi Harakah ketika itu.

4. Perlu dijelaskan bahawa setiap komen yang dibuat Tuan Hj Mohamad Sabu dalam temu bual itu adalah atas kapasitinya ketika itu sebagai Timbalan Presiden PAS. Ia juga sebagai mengambil tanggungjawab beliau sebagai orang nombor dua dalam PAS ketika itu.

5. Kes saman ini juga bukanlah satu kes yang baru berlaku hanya selepas beliau berada dalam AMANAH seperti yang disalah fahami oleh sesetengah pihak. Biarpun mula dibicara pada 2013, namun kes ini telah melalui proses mahkamah yang panjang sehingga ke peringkat mahkamah paling tinggi dan akhirnya keputusan dibuat pada Mac 2014 lalu.

6. Hj Mohamad Sabu telah menghadapi puluhan tuduhan, didera, dicedera, dilokap, ditahan, dibuang daerah, difitnah dan diaibkan sepanjang memimpin parti lamanya itu. Fakta yang jangan dinafi atau dilupakan.

7. Oleh yang demikian, saya mengharapkan semua pihak agar adil dalam membuat sebarang komen berhubung isu ini.

8. Kita akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh pihak mahkamah malah AMANAH yang ketika ini baru berusia lima bulan selepas ia diisytiharkan penubuhannya pada 31 Ogos 2015 lalu, akan berusaha membantu Tuan Hj Mohamad Sabu.

9. AMANAH juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya rakyat Malaysia yang telah menghubungi kami menyatakan hasrat untuk sama-sama membantu.

“Harapan Baru”

MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara

18 Februari 2016

CATEGORIES