'

PENCERAHAN MINGGUAN (SIRI 6)

Antara Harapan dan Putus Harapan : Antara Kejayaan dan Kegagalan

Oleh: USTAZ ABDUL GHANI SAMSUDIN

ustaz-ghani-shamsudinPendahuluan
Kehidupan di dunia ini penuh dengan cabaran, godaan dan sesuatu yang memeranjatkan. Manusia tidak tahu apa yang akan berlaku kepada dirinya pada besok hari. Manusia hanya boleh mengatur dan merancang dan selepas itu perlu pasrah kepada Allah; pemilik alam buana ini menentukan qadha’ qadarNya seperti yang termaktub dalam azali. Meskipun kita berkehendak namun kehendak Allah mengatasi kehendak manusia. Sebab itu manusia dan umat Islam khasnya diperintahkan agar sentiasa redha dengan ketentuan Allah di samping memohon limpahan rahmat-Nya.

Walau bagaimana pahit peristiwa yang dilalui oleh seorang mu’min, namun ketentuan Allah semuanya baik dan wajib direlai. Sebab itu Rasulullah menjelaskan :

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير ، وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن ؛ إن أصابته سرّاء شكر ؛ فكان خيراً له ، وإن أصابته ضرّاء صبر ؛ فكان خيراً له . رواه مسلم .

Sungguh anih sikap seorang muslim yang mu’min. Ia sentiasa menyikapi urusannya dengan sikap positif dan memandang baik tentang nasibnya. Sikap seperti ini hanya dimiliki oleh seorang mu’min. Seandainya dia mendapat rahmat yang menggembirakan dirinya dia bersyukur dan itulah yang terbaik baginya. Sebaliknya jika dia menghadapi musibah dia tetap bersabar dan itulah yang terbaik untuknya.

Tidak ada ketentuan qadha qadar yang lebih parah dari nasib yang dilalui oleh Saidina Yusuf a.s. yang berhadapan dengan krisis dan komplot jahat dengan adik beradiknya sendiri. Namun dengan sikap sabar dan jiwa besar baginda dapat memaafkan mereka dan kembali bertaut dengan ahli keluarga selepas melalui beberapa ketentuan Allah yang memang perit dan getir.

Orang Islam dilarang berputus asa dari rahmat Allah. Allah berfirman dalam Surah Yusuf ayat 87:

وَلاَ تَيْأَسُواْ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لاَ يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلاَّ الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Dan jangan kalian berputus asa dari rahmat Allah kerana tiada yang berputus asa dari rahmat Allah kecuali orang yang kafir.

Dengan sikap positif mengurus krisis dan perbedaan pendapat atau perpecahan di samping memiliki keperibadian yang baik umat Islam akan dapat menyelesaikan krisis mereka dengan cara yang terbaik. Tidak terjebak dalam sikap permusuhan, bangga diri dan kerendahan akhlak menghina pehak atau sahabat yang berbeza pandangan dengannya. Ini penting untuk menjadi kalangan yang berjaya dan terbaik.

Umat Perdana dan Terpilih “Wasatan”

Sikap positif seperti yang telah dihuraikan memang releven untuk merealisasi darjat “Khaira Ummah” umat terbaik atau umat perdana seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam Surah Ali Imran ayat : 110
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ..
Kamu adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan kepada umat manusia. Justeru kamu menyuruh berbuat kebaikan, mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.
Dalam Surah Al Baqarah ayat : 143 Allah menegaskan:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Demikianlah, Kami jadikan kamu, wahai Muhammad, umat perdana (pilihan) agar kamu menjadi saksi kebenaran kepada umat lain. Manakala Rasul pula akan menjadi saksi terhadap (kebenaran perbuatan) kamu.

Dengan sikap positif, jiwa besar, menurut hidayah, konsisten menunaikan solat dengan khusyu’, sentiasa mentarbiah diri, melaksanakan amr ma’ruf dan nahi munkar di samping bijak mengatasi cabaran hidup umat Islam akan dapat meraih kejayaan, kemenangan dan kecemerlangan insyaallah . Ini dapat kita simpulkan dari ayat ayat berikut:
Ayat Yang Mengungkapkan Tentang Manusia Yang Berjaya ( Muflihun)
1. Orang Yang Tertib Menurut Norma Tatasusila dan Kewajaran

Al Baqarah : 189
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَن تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَىٰ وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Mereka bertanya kepadamu mengenai anak bulan. Katakanlah: “Anak-anak bulan itu ialah sebagai penentu masa bagi manusia dan penentu hari ibadah haji. Bukanlah suatu kebajikan amalan memasuki rumah-rumah kamu dari belakang semasa ihram haji. Bahkan janganlah kamu menyangka bahawa memasuki rumah secara demikian sebagai satu kebajikan. Tetapi kebajikan itu ialah seseorang yang bertakwa. Oleh itu, masuklah ke rumah kamu melalui pintu depannya. Bertakwalah kepada Allah agar kamu meraih kemenangan.”

2.Orang Yang Beriman Dengan Perkara Yang Ghaib Serta Yakin Wujudnya Akhirat

Al Baqarah :3- 5
الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
أُوْلَئِكَ عَلَى هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Orang-orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang dikurniakan kepada mereka.
Mereka juga beriman dengan al-Quran yang diturunkan kepadamu, juga kitab-kitab yang diturunkan sebelummu serta yakin kepada Hari Akhirat.
Merekalah sebenarnya yang berada dalam petunjuk Allah dan merupakan orang-orang yang berjaya.”

3. Orang Yang Khusyu’ Dalam Solat

Al Mu’ minun : 1-2
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Sesungguhnya, berjayalah orang-orang yang beriman.
Mereka itu khusyuk dalam menunaikan solat.

4. Orang Yang Menjernih dan Mentarbiah Diri

Al A’la : 14-15
قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ
وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّىٰ
Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan dirinya,
dan orang yang menyebut-nyebut nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang.

5. Manusia Pengamal Tazkiah

Al Syams : 9-10
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا
وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjernih dan menyucikan jiwanya.
Sebaliknya rugi sungguhlah orang yang mengotorinya.

6. Pengajak Ke Arah Kebajikan, Menyuruh Yang Ma’ruf dan Mencegah Kemungkaran

Ali Imran : 104
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Biarlah ada di kalangan kamu sekumpulan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Golongan tersebut ialah orang-orang yang berjaya.
7. Pelindung Orang Pelarian Yang Berhijrah dan Orang Yang Pemurah

Al Hasyr: 9
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Orang yang lebih awal menetap di Madinah di samping memantap keimanan mereka (di dalam hati) menyayangi orang yang berhijrah kepada mereka. Mereka tidak terkilan dengan sumbangan yang telah mereka berikan, malah mereka lebih mengutamakan orang lain berbanding diri mereka; meski mereka sindiripun amat memerlukannya. Siapa yang mengawal sifat kikir dirinya maka mereka itulah orang yang berjaya.

8. Orang Yang Mempunyai Pendirian Yang Teguh

Al Mujadalah :22
لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَٰئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Engkau, wahai Muhammad, tidak akan menemui golongan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, namun saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya sekalipun orang-orang itu bapanya, anaknya, saudaranya atau keluarganya. Mereka ialah orang-orang yang telah Allah tanamkan keimanan di dalam hati mereka dan malah Allah memang menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Mereka ditempatkan di dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal hidup di dalamnya. Allah berpuas hati dengan pencapaian mereka dan mereka pun berpuas hati terhadap limpahan rahmat-Nya. Merekalah golongan pendokong dan penyokong agama Allah. Ketahuilah, bahawa memang golongan Allah itulah golongan yang meraih kemenangan.

Penegasan Tentang Orang Yang Menang Dengan Akar Kata “Faza” dan “Faaizun”

Umat manusia yang bakal meraih kemenangan adalah mereka yang hidup dengan samangat keimanan dan menaruh harapan yang tinggi kepada Allah dan rahmatNya. Ini ditegaskan oleh ayat ayat berikut:

9. Manusia yang terlepas dari siksa neraka dan masuk syurga

Surah Ali Imran : 185
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Setiap (makhluk) yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

10. Manusia Bertaqwa Yang Berkata Jitu dan Benar

Al Ahzab :70-71
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang jitu – benar (dalam segala perkara),
Nescaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.

11. Manusia Yang Patuh Kepada Allah dan Rasul
An Nisa : 13
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka Allah tentu akan menempatkannya di dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa (anak) sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.

12.Manusia Yang Jujur

Al Maidah : 119
قَالَ اللَّهُ هَٰذَا يَوْمُ يَنفَعُ الصَّادِقِينَ صِدْقُهُمْ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Allah berfirman: “Inilah hari pembalasan di mana orang-orang yang benar (tutur kata dan perbuatan mereka) akan mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka memperolehi Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepadaNya. Itulah kejayaan yang amat besar”.

13. Manusia Yang Takut Terhadap Siksa Allah

Al ‘Am :15-16
قُلْ إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ
مَّن يُصْرَفْ عَنْهُ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمَهُ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْمُبِينُ
Katakanlah: “Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari kiamat)”.
Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesugguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata.

14.Manusia Beriman, Berhijrah dan Berjihad Di Jalan Allah

Al Taubah, 20, 111
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Al Saf: 11-12
تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.

15.Manusia Yang Berjihad dan Menyempurnakan Bai’ah Kepada Allah

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan bayaran Syurga, justeru mereka berjuang pada jalan Allah . Maka (di antara) mereka ada yang rela berjuang (membunuh) dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jual-beli yang kamu jalankan itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang sangat besar.

16. Manusia Beriman dan Beramal Soleh

Al Jathiah :30
فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَيُدْخِلُهُمْ رَبُّهُمْ فِي رَحْمَتِهِ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْمُبِينُ

Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya; itulah kemenangan yang menyerlah.

17. Penghindar Keburukan dan Kejahatan

Surah Ghafir ayat :9
وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ وَمَن تَقِ السَّيِّئَاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang sangat besar “.

18. Orang Yang Tabah dan Penyabar

Al Mu’minun :111
إِنِّي جَزَيْتُهُمُ الْيَوْمَ بِمَا صَبَرُوا أَنَّهُمْ هُمُ الْفَائِزُونَ
“Sesungguhnya Aku mengganjari mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik ganjaran) lantaran kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah golongan yang berjaya”.

19. Para Penghuni Syurga

Al Hasyr: 20
لَا يَسْتَوِي أَصْحَابُ النَّارِ وَأَصْحَابُ الْجَنَّةِ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمُ الْفَائِزُونَ
Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).

Ayat ayat di atas menjelaskan siapa dan apakah watak manusia yang berjaya dan mendapat kemenangan di akhirat dan di dunia.
Huraian ini tidak lengkap jika kita tidak melihat dan menyelidiki ayat ayat yang mengungkapkan siapakah dan manusia manakah yang akan gagal dan malang di dunia dan akhirat.
Ayat Yang Menegaskan Jenis Manusia Yang Gagal dan Rugi

1) Manusia Penzalim Yang Menganiaya Orang

Al An’am : 21
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِآيَاتِهِ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ
Dan siapakah yang lebih zalim dari orang yang mengada-adakan perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.

Al Baqarah 124:
وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لاَ يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ
Ingatlah, ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa suruhan dan larangan, lalu dia melaksanakannya dengan sempurna. Kemudian Allah berkata: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi pemimpin bagi seluruh manusia.” Dia berkata: “Dan juga anak cucuku?” Allah menjawab: “Permohonanmu diterima, namun janji-Ku ini tidak meliputi orang-orang yang zalim.”

2) Manusia Kafir

Al Qasas: 82
وَأَصْبَحَ الَّذِينَ تَمَنَّوْا مَكَانَهُ بِالْأَمْسِ يَقُولُونَ وَيْكَأَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَوْلَا أَن مَّنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا لَخَسَفَ بِنَا وَيْكَأَنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ
Akhirnya orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun – mulai sedar sambil berkata: “Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa dari para hambaNya yang Dia mahu dan Dia lah juga yang menyempitkannya . Kalaulah tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufur (terhadap nikmat Allah ) tidak akan berjaya!”

Al Baqarah 121
الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُوْلَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمَن يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, kemudian mereka membaca dan memahaminya seperti yang sewajarnya, mereka itulah orang-orang yang beriman kepada-Nya. Tetapi sesiapa yang kafir dan ingkar dengannya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

3) Manusia Yang Bersalah dan Berdosa
Yunus : 17
فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِآيَاتِهِ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْمُجْرِمُونَ
Tiada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau ia mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.

Al Baqarah 81

بَلَى مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Bahkan sesiapa yang melakukan kejahatan dan tenggelam dalam kancah dosanya, maka mereka itu penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya.

4) Manusia Tukang Sihir

Ta Ha : 69
وَأَلْقِ مَا فِي يَمِينِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُوا إِنَّمَا صَنَعُوا كَيْدُ سَاحِرٍ وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ
“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu ( wahai Musa), nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka ajukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu muslihat ahli sihir. Sememangnya tukang sihir tidak akan berjaya; dari mana pun ia datang”.

5) Manusia Pembohong dan Pendusta

Yunus 69 (Al Nahl :116)
قُلْ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.

6. Manusia Perosak
Allah berfirman Dalam Surah Al Baqarah Ayat 27
الَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِن بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأَرْضِ أُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Mereka membatalkan perjanjian dengan Allah setelah dipersetujui. Mereka memutuskan silaturahim yang diperintahkan Allah supaya dijaga, serta membuat kerosakan di bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.

7.Pemutus Hubungan Silaturrahim
Allah berfirman dalam surah Al Ra’du ayat 25
وَالَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِن بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأَرْضِ أُوْلَئِكَ لَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ
Sebaliknya orang-orang yang mencabuli perjanjian dengan Allah sesudah dimeterai, memutuskan hubungan silaturahim yang disuruh oleh Allah supaya disambung, serta melakukan perbuatan buruk dan merosakkan di muka bumi, maka golongan ini akan dirundung laknat dan mendapat seburuk-buruk tempat balasan.

 

Penutup

Huraian mengenai manusia yang berjaya di sini hanya sekelumit dari sekian banyak huraian yang terkandung dalam banyak lagi ayat ayat al Quran , Sunnah Rasul dan kitab kitab rujukan Tafsir dan Syarah Hadith. Apa yang terungkap di sini adalah sebahagian kecil sahaja dari pesanan Allah dan RasulNya yang sangat banyak.
Kita diajar agar sentiasa memehak kepada kebenaran, kebaikan dan ketaqwaan. Hidup dengan penuh baik sangka kepada Allah. Redha dengan segala ketentuan-Nya. Tidak putus asa dari rahmat Allah . Sentiasa hidup dengan harapan; baik baru mahupun lama.Kerana hanya orang kafir yang putus harapan dari rahmat Allah.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita dan sahabat-sahabat kita yang lain untuk terus istiqamah menentang kezaliman, tidak cenderung menyokong kejahatan atau bersikap berkecuali terhadap kebatilan. Allah mengingatkan dalam Surah Hud ayat 113:
وَلاَ تَرْكَنُواْ إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاء ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ
Jangan kamu cenderung menyokong orang-orang yang zalim; kelak kamu bakal dicucuh api neraka. Nanti tiada sesiapa selain Allah yang dapat menolong kamu; kemudian, kamu malah tidak akan mendapat apa-apa pertolongan.

Meru
6 Safar 1437
18 Nov. 2015

CATEGORIES
TAGS