www.amanah.org.my
Pemuda AMANAH sangat kecewa apabila gagalnya pertandingan 1 lawan 1 antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN). Kekecewaan rakyat pastinya lebih lagi, memandangkan mood perubahan di Sarawak jelas menolak kepimpinan Najib Razak, sekaligus menolak Barisan Nasional.
Pemuda AMANAH berpendirian bahawa keputusan Majlis Presiden HARAPAN harus menjadi kuasa tertinggi yang memutuskan sebarang rundingan dan mana-mana pemimpin, baik AMANAH, DAP mahupun KEADILAN tidak boleh mengambil langkah bersendirian yang memberi kesan besar kepada persepsi rakyat terhadap HARAPAN.
Jika mana-mana pimpinan boleh bertindak bersendirian di luar meja perbincangan, maka apa bezanya dengan tindakan seorang pemimpin tertinggi parti ketika era Pakatan Rakyat dahulu? Seluruh pimpinan parti perlu menghormati legitimasi Majlis Presiden HARAPAN dan tidak menjadi ‘hero’ hanya semata-mata mahu dilihat ‘kuat’ dan ‘bertaring’.
Konflik ini tidak akan selesai dan perlu segera dibawa kembali ke meja rundingan sebelum hari mengundi. Calon yang diputuskan untuk mengundur diri, perlu menghebahkan penarikan diri di media massa dan menghentikan kempen, atas semangat dan jiwa besar sebagai pendokong HARAPAN
Dalam hal ini, seluruh pihak perlu jujur dan telus membuka ruang muhasabah. Kita sedang dinilai dan diperhati rakyat. Kita mahu HARAPAN ini berkekalan dan terus memperoleh mandat hingga berjaya ke Putrajaya.
SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional
26 April 2016