PEMUDA AMANAH WILAYAH MEMBANTAH KERAS TINDAKAN MENTERI WILAYAH SALAHGUNA SEKOLAH UNTUK TUJUAN POLITIK


1. Merujuk laporan portal online Malaysiakini bertarikh 3 Oktober 2017, https://www.malaysiakini.com/news/397102, Pemuda AMANAH Wilayah membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak amanah dan tidak bertanggungjawab Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyalahgunakan premis sekolah, para guru dan pelajar di Presint 14 Putrajaya untuk tujuan politik kepartian sempit UMNO.

2. Ia merupakan tindakan terdesak UMNO-BN yang jelas tergugat dengan kemaraan Pakatan Harapan sehingga sanggup mempolitikkan institusi pendidikan secara terang-terangan tanpa berselindung.

3. Pemuda AMANAH Wilayah amat mengalukan sebarang inisiatif reformasi pendidikan untuk mencerdikkan pelajar di sekolah dengan ilmu politik tentang hak dan tanggungjawab demokratik mereka sebagai rakyat Malaysia tetapi membantah sekeras-kerasnya tindakan membodohkan pelajar dengan politik kepartian sempit dan memecahbelah seperti yang dilakukan oleh Menteri Wilayah ini.

4. Sebarang salahguna institusi pendidikan untuk tujuan politik kepartian baik oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan, semuanya harus ditolak dan dilawan dengan tegas. Institusi pendidikan seharusnya bebas, tidak diperalatkan dan dipergunakan oleh mana-mana parti politik.

5. Anak-anak bangsa Malaysia harus dididik dan diinspirasikan untuk menjadi warga yang patriotik pada negara bukan pada mana-mana parti politik.

6. Kami yakin pihak guru dan pentadbiran sekolah berkenaan juga tidak senang dengan tindakan mempolitikkan sekolah tetapi mereka tiada pilihan kerana seperti dilaporkan, ia adalah arahan langsung daripada Kementerian Wilayah sendiri.

7. Pemuda AMANAH Wilayah menggesa ibubapa para pelajar rentas faham politik untuk turut membantah perkara ini. Pendidikan anak-anak kita tidak harus dicemarkan oleh politik kotor dan agenda peribadi mereka.

NIK ABDUL RAZAK BIN NIK MD RIDZUAN
Ketua Pemuda AMANAH Wilayah
4 OKTOBER 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *