'

PEMBUNUHAN KEVIN MORAIS, NEGARA DALAM BAHAYA

Penemuan mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais dalam keadaan bersimen dalam tong dram, meletakkan seluruh rakyat Malaysia dalam keadaan gelisah.

Ini bukan kali pertama kes pembunuhan berprofil tinggi berlaku di negara ini, malah ia memberi petunjuk jelas tahap keselamatan di negara ini berada pada tahap sangat membimbangkan. Sepertinya kumpulan ala mafia sedang berleluasa di negara ini.

Berdasarkan maklumat Morais dikenali sebagai seorang yang sangat dedikasi dalam menjalankan tugas khususnya dalam soal memerangi rasuah. Pembunuhan kejam ke atasnya juga memberi gambaran betapa gejala rasuah di dalam negara semakin membarah.

Bagi pihak Parti Amanah Negara (Amanah), kami bersimpati dan mengambil berat soal keselamatan penjawat awam. Mereka sedaya upaya menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan integriti, namun terpaksa pula berhadapan dengan cabaran seperti ini.

anuartahir

Oleh itu, kami mendesak supaya satu siasatan menyeluruh dilakukan. Kumpulan penyiasat juga harus diberi ruang sepenuhnya tanpa gangguan daripada mana-mana pihak bagi mengheret dalang sebenar pembunuhan ini ke muka pengadilan.

Kita juga menuntut satu pendirian tegas perdana menteri dan menteri dalam negeri dalam usaha memerangi jenayah profil tinggi seperti ini. Kembalikan keyakinan rakyat terhadap isu keselamatan negara ini.

Akhir sekali, kami mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan semoga tabah menghadapi ujian ini. Di pihak Amanah, kami turut merasai kehilangan itu. – 18 September, 2015.

Mohd Anuar Tahir
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara (AMANAH)
18 September 2015

Sumber: The Malaysian Insider

CATEGORIES