'

Pelancaran Amanah menyaksikan keahlian lebih 30,000 ahli

DSC_0251
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini dilancarkan dengan keahlian lebih 30,000 ahli yang dijangka mencecah 100,000 ahli menjelang penghujung tahun ini, kata Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir.
“Amanah adalah satu wadah politik baru yang menggarapkan seluruh kekuatan rakyat demi kesinambungan kekuatan politik negara. Amanah tampil di tengah-tengah kekalutan, keserabutan, kecelaruan dan kejerebuan politik dan ekonomi negara.
“Amanah kini bertapak di 105 kawasan di seluruh negara dengan keahlian sehingga 30,018 ahli. Atas arahan Presiden Amanah kita akan mensasarkan hingga 100,000 keahlian.
“Ahli Amanah paling banyak didaftarkan adalah di Kelantan, di tempat kedua pula Johor seterusnya di Selangor.
“Amanah wujud hasil dari kesedaran dan perubahan yang kita inginkan adalah yang aman bukan secara kasar,” katanya ketika berucap pagi tadi.
Majlis pelancaran Amanah diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam bermula jam 10 pagi tadi dengan kira-kira 3,000 ahlinya hadir dari seluruh negara.
Turut hadir adalah pimpinan tertinggi PKR dan DAP, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Liew Chin Tong.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar turut dilihat hadir pada pelancaran parti baru itu hari ini. Kamaruddin sebelum ini dilihat ‘mesra’ Amanah, bagaimanapun mengumumkan untuk menyertai PKR, Jumaat lalu.
Amanah setakat ini didaftarkan di atas nama Parti Pekerja dan masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menggunakan nama rasminya.
Sebagaimana menurut Anuar, kelulusan RoS itu akan diketahui selewat-lewatnya dua hari lagi.
CATEGORIES
TAGS