Kenyataan Media
MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN 7 Mac 2016
PAKATAN HARAPAN ANJURKAN PERHIMPUNAN MANSUH GST 2 APRIL 2016 DAN PERHIMPUNAN
MUAFAKAT SELAMAT MALAYSIA
Pakatan Harapan memandang positif beberapa perkembangan mutakhir yang menjadi bukti bahawa reformasi membawa perubahan institusi dan sistem yang diperjuangkan selama ini adalah satu-satunya cara menyelamatkan Malaysia.
Majlis Presiden Pakatan Harapan menyokong penglibatan ketiga kepimpinan tertinggi yang diketuai oleh YAB Mohamed Azmin Ali, YB Lim Kit Siang dan Y Bhg Hj Mohamed Sabu dalam Deklarasi Rakyat baru-baru ini.
Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh tokoh-tokoh yang merentasi batasan politik termasuk Tun Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan dan pembangkang yang lain adalah pengakuan tokoh-tokoh pimpinan Umno/Barisan Nasional sendiri bahawa institusi-institusi kerajaan telah dirosakkan oleh pentadbiran Umno/Barisan Nasional.
Pengakuan oleh Tun Mahathir Mohamad ini tidak mengubah hala tuju Pakatan Harapan terutamanya berhubung pendirian mengenai bentuk-bentuk reformasi undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan, pendidikan dan sosial yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan.
Malah, pengakuan Tun Mahathir Mohamad itu adalah satu penerimaan secara tidak langsung bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas telah memangsakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan kerana menjadi ancaman politik paling utama kepada pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Oleh yang demikian, Pakatan Harapan pada hari ini menetapkan bahawa agenda pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama-sama agenda reformasi yang lain dalam usaha menyelamatkan Malaysia. Strategi tiga serampang ini – menuntut reformasi institusi, membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan menuntut Dato’ Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan – akan digerakkan secara bersepadu oleh Pakatan Harapan dalam kempen kami di seluruh negara.
Pakatan Harapan juga percaya isu-isu ekonomi yang mendesak dan menekan rakyat tidak boleh ditenggelamkan oleh beberapa perkembangan politik mutakhir ini. Isu-isu seperti penghapusan GST, pembiayaan pendidikan yang munasabah, menghentikan kenaikan cukai, levi dan yuran yang dikenakan kerajaan dan kenaikan tarif perlu terus diperjuangkan.
Oleh itu, Pakatan Harapan menyeru semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan untuk turun menyertai Perhimpunan Mansuh GST yang akan diadakan pada 2 April 2016 di Kuala Lumpur bersempena dengan satu tahun rakyat Malaysia dibebankan dengan GST.
Pakatan Harapan juga akan menganjurkan perhimpunan-perhimpunan “Muafakat Selamat Malaysia” di setiap negeri bermula bulan ini untuk memberi pentas kepada semua pihak dan aktivis menggembleng sokongan rakyat menuntut Dato’ Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.
Saudara Mohamad Sabu telah diberi amanah untuk mengetuai Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan Mansuh GST pada 2 April 2016 dan Perhimpunan- Perhimpunan “Muafakat Selamat Malaysia”.
YB DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
YB LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP
TUAN HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH