'

Nasib parti Amanah pada PRU14 bergantung kepada strategi – ILHAM Centre

Pada 31 Ogos lepas, Mohamad Sabu yang merupakan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) mengumumkan pembentukan Parti Amanah Negara (Amanah). – Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Nasib Parti Amanah Negara Amanah) bergantung kepada strategi yang bakal diperkenalkan untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ini kerana pengundi Melayu yang menyokong pembangkang masih keliru sama ada mahu memilih PAS atau Amanah?

Dapatan kajian yang dijalankan ILHAM Centre baru-baru ini menunjukkan Amanah dan PAS belum mendapat sokongan padu pengundi Melayu pro pembangkang.

“Bila kami jumpa responden, mereka anggap masih awal untuk buat keputusan.

“Seperti yang digambarkan, Amanah ialah parti serpihan PAS. Jika parti ini meneruskan cara dan gerak kerja PAS dalam jenama lain, mereka takkan dapat menawan hati pengundi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar ketika ditemui Astro AWANI hari ini.

Katanya, Amanah perlukan citra perjuangan yang berbeza daripada PAS.

“Jika Amanah ubah strategi dengan mewujudkan citra perjuangan yang lebih terbuka, progresif dan menambat hati pengundi muda, mungkin mereka akan berjaya.

“Petanda kejayaan mereka mula dilihat apabila Amanah diterima di peringkat akar umbi di Johor, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan daripada kalangan mereka yang tidak pernah anggotai mana-mana parti politik, tetapi sertai Amanah.

“Segmen ini amat besar dan jika momentum ini berterusan, Amanah mempunyai prospek yang lebih besar berbanding PAS,” katanya.

Pada 31 Ogos lepas, Mohamad Sabu yang merupakan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) mengumumkan pembentukan Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan penjenamaan semula Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk digunakan sebagai nama rasmi wadah politik GHB.Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kemudiannya pada 1Oktober telah meluluskan permohonan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Sebelum ini Setiausaha Parti Amanah, Anuar Tahir menjangkakan 50,000 ahli baru akan mendaftar parti tersebut.

Pada September lalu, 35,000 borang keahlian habis diedarkan pada pelancaran Parti Amanah Negara.

sumber: astroawani
CATEGORIES
TAGS