'

MARTABAT DAN HORMAT WANITA ADALAH TUNTUTAN AGAMA. HENTIKAN KEGANASAN TERHADAP WANITA.

hari wanita1. Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac setiap tahun, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Nasional menyatakan komitmen sepenuhnya dalam segala usaha membela dan mengangkat martabat wanita di negara ini khususnya dan seluruh dunia amnya. Perjuangan membela hak wanita ini turut terakam di dalam petikan Khutbah (Haji) Wida’ Baginda Nabi SAW seperti berikut :

“Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makanan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

2. AWAN Nasional sangat memandang serius isu-isu keganasan terhadap wanita di negara ini yang semakin menunjukkan peningkatan membimbangkan. Pada masa yang sama, jumlah kes yang berjaya diadili hanya sekitar 40% daripada rekod pihak berkuasa.

3. Berdasarkan statistik kes keganasan rumah tangga sepanjang Januari hingga Ogos 2015 misalnya, terdapat 3,334 jumlah keseluruhan kes dicatatkan di seluruh negara, dengan 2,528 kes membabitkan wanita sebagai mangsa.

4. Lebih membimbangkan adalah bilamana mutakhir ini para pelaku keganasan terbabit tanpa segan silu melakukan aktiviti ‘ganas’ mereka di tempat terbuka dan premis awam. Mereka seolah-olah tidak ada langsung perasaan malu dan takut.

5. AWAN Nasional merujuk kepada beberapa kes yang berlaku dalam tahun 2016 ini yang antaranya melibatkan seorang suami di Kulim, Kedah yang telah membelasah isterinya kemudian mengheretnya dengan ganas ke mesin ATM semata-mata ingin mendapatkan wang daripada akaun isterinya.

6. Sebulan lalu, kita juga dikejutkan dengan kes seorang lelaki memukul wanita menggunakan kasut yang didakwa berlaku di tepi jalan berhampiran pintu masuk Plaza Tol Ayer Hitam yang rakaman videonya tersebar di media sosial. Seterusnya, yang terbaru kes kaganasan terhadap wanita ini telah menjadi kes jenayah bunuh apabila seorang isteri maut ditumbuk oleh suaminya di bahagian muka di mana kes ini berlaku di Simpang Pulai, Perak.

7. AWAN Nasional percaya, sekiranya isu ini tidak diperjuangkan dan semua aktiviti keganasan ini tidak dihentikan segera, akan ada lebih banyak nyawa yang terkorban daripada senarai mangsa yang telah direkodkan.

8. Justeru, bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada tahun ini, AWAN Nasional akan mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (Stop Violence Against Women @VAW) pada tarikh 13 Mac 2016, jam 2 petang bertempat di GM Klang Wholesale City. Beberapa acara menarik seperti slot Bual Bicara Bersama Peguam yang berpengalaman serta perkongsian Dari Hati Ke Hati Wanita yang pernah melalui pengalaman pahit ini akan diadakan. Kita juga akan membuat Pengumuman Khas “Hari Jingga SeMalaysia” bersempena kempen tersebut nanti.

9. AWAN Nasional menjemput semua sahabat-sahabat kami khususnya wanita seluruh negara terutamanya yang tinggal berhampiran lokasi majlis untuk turut serta menjayakan program ini.

10. AWAN Nasional turut ingin menyatakan komitmen dalam perjuangan bagi menghentikan keganasan ke atas wanita di peringkat antarabangsa. Untuk itu, AWAN Nasional menyatakan solidariti kepada gerakan Mesir Kini yang sedang memperjuangkan isu pencabulan hak wanita Mesir oleh Rejim Kudeta Mesir. Seperti yang dilaporkan oleh sebuah badan NGO, Women Anti Coup Movement di mana sejak berlakunya rampasan kuasa di Mesir, Julai 2013 sehingga tahun 2015, Rejim Kudeta Mesir telah menangkap seramai 1631 wanita dan pemudi sebagai tahanan politik di mana 188 antara mereka telah dihukum secara zalim. Walaupun seramai 1554 orang tahanan telah dibebaskan dengan ikat jamin, tetapi masih terdapat seramai 77 orang tahanan wanita yang berada di dalam penjara.

11. Kebanyakan mangsa tahanan ini difahamkan telah ‘diculik’(ditahan tanpa bicara), dipaksa mengaku bersalah dan telah diseksa dengan begitu kejam oleh pihak tentera. Bahkan kami difahamkan terdapat polis-polis rahsia yang menangkap pelajar-pelajar wanita yang sedang dalam perjalanan ke kampus pengajian mereka. Maklumat yang lebih menyedihkan adalah terdapat kes di mana ada di antara tahanan ini yang dirogol bahkan dibunuh oleh pasukan tentera rejim.

12. Untuk ini, AWAN Nasional akan menghantar satu memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir di Malaysia bagi mendesak keganasan ini dihentikan segera.

13. AWAN Nasional mendesak agar Kerajaan Mesir pada hari ini membebaskan kesemua mangsa tahanan politik terutamanya tahanan wanita secara serta merta.

14. AWAN Nasional turut menggesa agar pemimpin Rejim Kudeta Mesir, General Abdel Fattah al-Sisi dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di atas jenayah kemanusiaan yang telah beliau lakukan terhadap rakyat di Mesir.

15. AWAN Nasional turut menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menyatakan solidariti dalam isu ini.

16. Akhirnya, kembali kepada konteks negara dan rakyat kita yang kita kasihi, AWAN Nasional ingin menyatakan iltizam dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memperjuangkan kesejahteraan hidup rakyat khususnya institusi keluarga, melalui usaha dan gerakan berterusan dalam mereformasi sistem dan urus tadbir negara yang berantakan.

17. AWAN Nasional berazam demi kepentingan seluruh sahabat wanita kami di seluruh negara, sekaligus membaikpulih kualiti dan nilai sebuah institusi kekeluargaan Malaysia, maka kita akan meneruskan pelaksanaan kempen kesedaran dan pendidikan masyarakat bagi memerangi semua bentuk kekerasan dan keganasan terhadap wanita sepanjang tahun 2016, di seluruh negara. Sehinggalah falsafah martabat dan hormat wanita itu benar-benar difahami dan dijiwai merentas setiap dasar, program dan aktiviti setiap entiti Malaysia.

Selamat Hari Wanita Sedunia!

MARTABAT & HORMAT WANITA. HENTIKAN KEGANASAN.

“Harapan Baru”

DR SITI MARIAH MAHMUD
Ketua
Angkatan Wanita Amanah Negara(AWAN) Nasional
Parti Amanah Negara
Ahli Parlimen Kota Raja

8 Mac 2016

CATEGORIES