KENYATAAN MEDIA
PEMUDA AMANAH NASIONAL
LONJAKAN INFLASI MAKANAN : KERAJAAN DISARAN PANGGIL SIDANG TERGEMPAR PARLIMEN
1. Pengumuman terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai Indeks Harga Pengguna bagi bulan April 2022 menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 2.3 peratus berbanding bulan April bagi tahun 2021. Ia melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 sehingga April 2022 iaitu sebanyak 1.9 peratus.
2. Kenaikan inflasi makanan yang menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi dengan peningkatan tertinggi iaitu 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan makanan dan minuman mencatatkan kenaikan.
3. Pemuda AMANAH Nasional kesal dengan kelemahan Kerajaan dalam menangani isu inflasi makanan misalnya dalam memastikan subsidi kepada penternak ayam dapat dibayar tepat pada masanya. Pendedahan bahawa hanya RM50 juta sahaja yang telah dibayar daripada peruntukan sebanyak RM729.43 yang telah diluluskan sejak 5 Februari yang lalu adalah amat mendukacitakan. Para penternak mengadu kelewatan penyaluran subsidi berpunca karenah birokrasi serta tuntutan tidak boleh dibuat secara atas talian. Kerana kegagalan itu, harga ayam yang sepatutnya tidak melebihi RM8.90 sekilogram telah mencecah purata RM9.50 bagi bulan April 2022.
4. Kelambatan Kerajaan menangani isu kekurangan stok serta kenaikan harga ayam menggambarkan seolah-olah Kerajaan tidak mempunyai gambaran yang jelas masalah sebenar yang sedang dihadapi sedangkan krisis keselamatan makanan serta inflasi makanan sedang menuju ke arah situasi yang semakin membimbangkan.
5. Ada cadangan dari pihak industri yang memohon agar pengapungan harga ayam mengikut harga pasaran semasa dilakukan. Yakni, tidak diikat dengan harga kawalan sekarang yang nyata telah menyebabkan mereka berada dalam kerugian akibat kenaikan harga input makanan ternakan. Perkara ini perlu diteliti dengan berhemah kerana pemegang taruh iaitu penternak kecil dan sederhana sudah tidak mampu menanggung kos di bawah harga kawalan ini. Kesan besar kemudian kemungkinan mereka akan menutup terus operasi perniagaan dan akhirnya pasaran ayam hanya akan dikuasai oleh dua ke tiga pemain besar industri sahaja. Ini boleh mendatangkan monopoli mutlak di kemudian hari dan pastinya campur tangan Kerajaan akan menjadi lebih sukar.
6. Kerajaan perlu mendengar pandangan dan saranan semua pihak terlibat agar keputusan yang benar-benar tepat dan menyeluruh dapat diambil. Justeru itu, Pemuda AMANAH Nasional mencadangkan agar satu sidang tergempar Parlimen perlu dipanggil dalam masa terdekat bagi membincangkan dan membahaskan segala usul berkaitan inflasi makanan serta krisis keselamatan makanan ini dengan kadar segera.
Mohd Hasbie bin Muda
Ketua Pemuda Bertarikh : 26 Mei 2022