Hari ini, rakyat Malaysia berbilang kaum sekali lagi akan menggunakan hak mereka seperti dijamin Perlembagaan untuk berhimpun secara aman dan menyatakan tuntutan rakyat terhadap pemerintah.
BERSIH 4.0, sekalipun berhadapan ugutan, ancaman dari pihak kerajaan, malah mengisytiharkannya sebagai himpunan haram, ribuan rakyat dilihat tetap turun hari ini.
Berikut adalah laporan langsung BERSIH 4.0
2.50pm : Kumpulan dari Masjid Negara mula bergerak ke Dataran Merdeka
2.30pm : Anggaran lebih 50,000 sudah berkumpul di beberapa kawasan yang ditetapkan. Mereka akan mula berarak menuju ke Dataran Merdeka.
2.20pm : “Kita ada mesej yang sangat kuat mengapa kita berkumpul di Kuala Lumpur hari ini iaitu untuk membersihkan Malaysia” wanita muda DAP, Dyana Sofia.
2.15pm : Mohamad Sabu berkata, bukan sahaja rakyat biasa tetapi ahli Umno sendiri membuat laporan mengenai skandal rasuah perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Himpunan Bersih4 hari ini menunjukkan rakyat sudah tidak tahan dan tidak percaya kepada kepimpinan Najib,” kata beliau ketika berucap di Masjid Negara sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Beliau turut mengingatkan peserta himpunan Bersih 4 agar tidak masuk ke kawasan Dataran Merdeka yang sudah telah disediakan untuk sambutan Hari Kemerdekaan. Sebaliknya peserta diingatkan agar menjaga disiplin sepanjang himpunan.
“Saya amat gembira melihat kehadiran ramai anak muda hari ini. Ini menunjukkan negara kita mempunyai masa depan yang cerah,” kata Mohamad sabu.
2.10pm : Himpunan di Masjid Negara bermula dengan bacaan doa oleh Ust Riduan Abu Bakar diikuti ucapan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan Ketua Wanita GHB Dr Siti Mariah Mahmud.
2.00 : Sehingga jam 2.00pm dianggarkan seramai 30,000 sudah membanjiri ibu kota.