1. Parti Amanah Negara (AMANAH) terpanggil untuk memberi reaksi terhadap perkembangan terbaru krisis pergolakan di Syria.
2. Arab Saudi, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah membuat keputusan untuk bersama Amerika Syarikat dan 36 negara yang dipimpinnya untuk masuk ke Syria dengan alasan kononnya untuk melawan ISIS.
3. Parti AMANAH mendesak Malaysia memainkan peranan segera melalui OIC atau badan antarabangsa yang lain agar isu Syria diselesaikan melalui meja rundingan. Perkembangan terbaru persepakatan Arab Saudi, Amerika dan rakan sekutunya yang lain untuk masuk ke Syria, memungkinkan pertempuran hebat akan berlaku dan bakal memangsakan rakyat awam terbanyak.
4. Pada masa ini, keadaan di Syria sudah cukup sengsara. Kemusnahan yang berlaku di negara Timur Tengah ini adalah berpunca daripada sikap adu domba, dominasi hemegoni politik Amerika bersama sekutunya Israel dan beberapa negara Arab yang lain, sekaligus membawa negara-negara Arab dan umatnya berada dalam kehancuran.
5. Parti AMANAH berharap kerajaan Malaysia tidak menyertai atau menyokong mana-mana kumpulan untuk masuk ke Syria bersama dengan Amerika Syarikat. Malaysia perlu merintis jalan damai dalam usaha penyelesaian krisis lebih lima tahun ini dengan mendesak semua pihak supaya hadir ke meja rundingan.
6. Dominasi Amerika di Timur Tengah tidak lain hanya bagi menjaga kepentingan mereka terutama sekali menjaga keselamatan Israel. Sebarang tindakan oleh Amerika dan rakan sekutunya untuk masuk ke Syria secara terus tanpa melalui meja rundingan hendaklah dikutuk sekeras-kerasnya. ‎
“Harapan Baru”
HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
13 Februari 2016‎
03 Jamadil Awwal 1437H‎