- Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, Parti Amanah Negara (AMANAH) ingin merakamkan penghargaan terhadap golongan wanita yang dilambangkan oleh ibu, isteri dan saudara perempuan sebagai belahan daripada diri manusia.
- Seorang manusia sama ada lelaki mahupun wanita, tetap dipengaruhi oleh seorang wanita. Jasa dan pengorbanan wanita tidak mungkin dapat dicatat sepenuhnya oleh tinta. Pengorbanan zaman berzaman sejak daripada ibu kita Hawa sampai ke zaman ini tidak akan terungkapkan.
- Tokoh-tokoh pejuang wanita sepanjang zaman sejak dari zaman Tun Fatimah sampai ke zaman mutakhir seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Aung San Suu Kyi, telah menggambarkan bahawa wanita adalah sumber perjuangan. Jasa mereka wajar dikenang. menghargai mereka adalah menghargai kaum ibu kita sendiri.
- Mewakili AMANAH, saya ingin mengambil kesempatan ini dengan penuh penghargaan mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua wanita-wanita di negara ini, khasnya kepada Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Yb Dr Siti Mariah Mahmud dan rakan-rakan seperjuangannya yang menjadi lambang perjuangan kami di AMANAH.
“Selamat Hari Wanita! Hidup Wanita! Dirgahayu Wanita!”
MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
8 Mac 2016