'

KENYATAAN MEDIA : PENCAPAIAN SEMASA AMANAH

ANUAR-TAHIR-AMANAH_LAUNCH_160915_TMISETH_031. Alhamdulillah, syukur kami panjatkan kepada Allah SWT atas kemudahan yang telah diberikan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk meneruskan langkah cemerlang di pentas politik negara walaupun baru berusia dua bulan lebih sejak ia ditubuhkan.

2. Dalam perkembangan terbaru, suka untuk saya maklumi bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan penubuhan AMANAH di semua 14 negeri, dan juga 33 kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Sementara penubuhan bagi baki kawasan-kawasan lain akan dibuat awal Disember ini. Turut diluluskan adalah sayap-sayap parti iaitu Pemuda AMANAH Nasional dan juga Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN).

3. Dalam perkembangan sama, Parti AMANAH juga telah berjaya mewujudkan biro-biro di bawah parti dengan melantik ketua masing-masing. Senarai biro-biro ini adalah seperti dilampirkan.

4. Sejak dilancar 31 Ogos lalu, permohonan orang ramai untuk menyertai Parti AMANAH sangat memberangsangkan. Sehingga kini kita sedang memproses 60,000 permohonan keahlian dengan Kelantan kekal sebagai negeri tertinggi diikuti Johor dan Selangor. Melihat kepada sambutan ini, kita optimis bahawa sasaran 100,000 ahli menjelang 2016 akan dapat dicapai.

5. Kita juga telah memulakan jelajah turun ke negeri-negeri bermula 29 Oktober dengan Sarawak sebagai negeri pertama, kemudian ke Terengganu, Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan. Sepanjang jelajah itu, sambutan yang kami terima sangat baik. Untuk seterusnya, kami akan meneruskan jelajah ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Selangor.

6. Dengan penubuhan secara rasmi AMANAH di peringkat negeri dan kawasan-kawasan ini, serta sambutan dan penyertaan yang menggalakkan ini, maka Parti AMANAH kini siap sedia untuk menjadi antara pemain politik utama di negara ini.

7. Kita juga akan terus memberi komitmen dan berperanan secara aktif bersama Pakatan Harapan. Kita telah mengisi semua keanggotaan dalam kuota Majlis Presiden dan juga Majlis Setiausaha yang dibentuk dan telah empat kali mengadakan mesyuarat. Buat masa ini kita terlibat untuk menyiapkan perjanjian persepakatan (coalition agreement) dan juga kerangka dasar bersama (common policy framework).

8. Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput semua pihak hadir ke majlis perasmian Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur, pada 28 November ini. Program akan bermula dengan majlis Hi-Tea pada jam 5 petang, dan ceramah perdana oleh pemimpin utama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan pada sebelah malam.
MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
20 November 2015

CATEGORIES