KENYATAAN MEDIA BELASUNGKAWA


hj_anuar21. Parti Amanah Negara (AMANAH) terkejut dan dukacita menerima berita kematian bekas calon PKR bagi pilihan raya negeri Sarawak, Bill Kayong yang dilaporkan ditembak pada jarak dekat di Miri, pagi tadi.

2. Bill yang juga setiausaha politik kepada ahli parlimen Miri Dr Michael Teoh, adalah dikenali sebagai seorang pemimpin muda yang disegani dan tegas memperjuangkan isu-isu rakyat, malah mempunyai masa hadapan politik yang cerah.

3. AMANAH melahirkan kebimbangan dengan insiden pembunuhan kejam berprofil tinggi yang semakin kerap kedengaran sejak kebelakangan ini.  Jika berlaku di Amerika Syarikat, mungkin ia tidak mengejutkan kerana dasar kerajaan itu membenarkan rakyatnya memiliki senjata.

4. Namun apa yang dihairankan, bagaimana pembunuh ala mafia ini boleh berleluasa di negara kita dan seperti sangat mudah memiliki senjata, sedangkan undang-undang negara ini sangat ketat terhadap mereka yang memiliki senjata api.

5. AMANAH mendesak pihak polis agar segera menyiasat dalang kepada pembunuhan ini sehingga ke lubang cacing. Penjenayah tidak boleh dilindungi. Keselamatan rakyat, ahli-ahli politik dan pejuang-pejuang sosial perlu diberi perhatian.

6. Selain itu, kerajaan juga perlu mengkaji sedalam-dalamnya isu keselamatan agar kerukunan dan kedamaian negara kekal terpelihara. AMANAH secara tegas menyatakan pendirian menolak sebarang bentuk tindakan ganas oleh mana-mana pihak.

7. Walaupun suhu politik sering sahaja meningkat, namun janganlah dibiarkan keganasan berlaku dengan membiarkan kumpulan-kumpulan perkauman melakukan agitasi dan demonstrasi.

8. Pemergian Bill adalah suatu kehilangan besar buat AMANAH dan Pakatan Harapan secara umumnya. Kepada keluarga mendiang, AMANAH ingin menyampaikan belasungkawa dan didoakan agar dapat bersabar menerima takdir Tuhan.

“Harapan Baru”

MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara

21 Jun 2016