'

KENYATAAN MEDIA AMANAH BERHUBUNG PERJUMPAAN DENGAN MB SELANGOR

KhalidSamadPada asalnya telah diputuskan bahawa tiada kenyataan perlu dikeluarkan oleh mana-mana pihak berhubung pertemuan pimpinan AMANAH dengan Menteri Besar Selangor, YAB Azmin Ali. Tetapi atas sebab munculnya bermacam-macam laporan dan andaian yang dikeluarkan oleh pihak media dan di media sosial, maka adalah dianggap bahawa tidak mengeluarkan kenyataan adalah lebih buruk kesannya berbanding sebaliknya.

Oleh itu AMANAH memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perbincangan yang telah diadakan bersama YAB Azmin di pejabatnya pada pagi Khamis, 12 November jam 8.30 pagi.

1. AMANAH mengucapkan terima kasih atas kesudian YAB MB Selangor bertemu dengan pimpinan AMANAH walaupun mempunyai jadual yang padat dan sibuk. Kesanggupan YAB MB bertemu pada seawal 8.30 pagi amat dihargai dan adalah bukti kesanggupan beliau untuk bersusah payah memberi ruang untuk bertemu kami.

2. AMANAH berpendapat bahawa pertemuan selama sejam lebih itu amat bermakna dan secara umumnya AMANAH berpuas hati dengan hasil perbincangan tersebut.

3. AMANAH bersetuju bahawa pilihan raya Negeri Selangor 2013 telah dimenangi atas tiket Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR, DAP dan PAS. Oleh itu usaha untuk menyingkir mana-mana satu parti tersebut daripada kerajaan Selangor adalah tidak wajar dan bukan merupakan hajat atau kehendak AMANAH.

4. AMANAH menegaskan bahawa pimpinan AMANAH bukan sekadar turut terlibat dengan Pakatan Rakyat tetapi menjuarainya, walaupun pada ketika itu melalui PAS, dan perubahan landskap politik hasil perpecahan PAS tidak menafikan hakikat ini.

5. AMANAH mengalu-alukan kesediaan MB Selangor untuk mengiktiraf AMANAH sebagai rakan dalam pentadbiran kerajaan Negeri Selangor dan bukan sebagai pembangkang atau pengkhianat terhadap usahanya. Ini dibuktikan melalui layanan yang setaraf terhadap dua ADUN AMANAH yang turut menikmati kedudukan dan hak yang sama seperti ADUN PKR, DAP dan PAS. Begitu juga terhadap pegawai-pegawai lantikan politik yang bersama AMANAH seperti Ahli Majlis, Ketua Kampung dan lain-lain.

6. AMANAH mengambil maklum pandangan MB Selangor bahawa sudah sedia ada perjanjian dengan PAS Selangor di mana mereka bersetuju untuk terus berpegang kepada dasar bersama dan manifesto PR sebagai asas pentadbiran bersama. Oleh itu mengikut pandangan MB Selangor, perjanjian baru antara PAS dan Pakatan Harapan adalah tidak perlu.

7. AMANAH menerima baik pendirian MB bahawa kerajaan Selangor bukan kerajaan Pakatan Harapan seperti kerajaan Pulau Pinang atas sebab keterlibatan PAS dalam kerajaan Selangor. Namun Pakatan Harapan tetap diiktiraf dan mempunyai tempat di dalam pentadbiran Negeri Selangor.

8. AMANAH menyambut baik kenyataan MB Selangor bahawa perjanjian rasmi antara parti komponen Pakatan Harapan sedang disediakan dan selepas ianya ditandatangani maka usaha menggerakkan dan melancarkannya akan digandakan.

9. Persoalan kenyataan Dato Husam Musa turut ditimbulkan dan AMANAH telah menjelaskan tuduhan Dato Husam bahawa ada usaha untuk membentuk kerajaan dengan UMNO tidak ditujukan terhadap MB Selangor tetapi terhadap Presiden PAS. AMANAH memperakui bahawa MB Selangor tidak mengetahui tentang hasrat ini kerana ianya disebut di dalam mesyuarat PAS Pusat dan bukan semasa perbincangan Presiden PAS dengan YAB MB.

10. Akhirnya AMANAH telah memohon jasa baik MB Selangor untuk berusaha meredakan perbalahan antara AMANAH dan PAS. Hak semua pihak hendaklah diiktiraf dan apa jua jenis ketidakadilan dan diskriminasi hendaklah ditegur dan dihalang.

11. AMANAH bersetuju untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan YAB Azmin dan akan berusaha untuk mengurangkan spekulasi negatif terhadapnya daripada semua pihak.

“Harapan Baru”

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara
13 November 2015

CATEGORIES