'

KEDUDUKAN SEBENAR TABUNG HAJI

pc thMUKADDIMAH

Melalui pembayaran bonus setinggi 5% dan bonus haji tambahan 3%, Tabung Haji (TH) cuba memberi gambaran kedudukan kewangan dan perniagaannya kukuh sekaligus mahu menepis  segala sangkaan buruk yang ditimbulkan terhadapnya

Namun pada hakikatnya masalah pendekatan pengurusan berhemah dan mampan oleh Tabung Haji wajar untuk terus dipersoalkan.

 

LAPORAN KEWANGAN 2015

AMANAH yakin bahawa laporan kewangan TH bagi tahun 2015 yang bakal disediakan akan turut memberi gambaran baik mengenai perniagaannya. Sedangkan keadaan sebenar mungkin sebaliknya. Keuntungan dan pertambahan aset sehingga melebihi liabiliti hanya tercapai melalui

  1. Penjualan beberapa aset yang paling bernilai dengan harga pasaran yang jauh melebihi nilai buku.
  1. Penetapan kembali nilai (revaluation) pelaburan milik TH khususnya dalam aspek hartanah.

Keuntungan dan peningkatan nilai aset adalah bukan daripada hasil perniagaan semasa TH. Sebaliknya ianya daripada pelaburan lama dan keuntungan hasil darinya. Perniagaan semasa sememangnya mendatangkan pulangan jauh lebih sedikit berbanding bonus 5% yang diberikan. Mungkin ini adalah antara sebab istilah ‘bonus’ dan bukan ‘dividen’ diguna pakai tahun ini. Dividen adalah daripada keuntungan sedangkan bonus tidak semestinya daripada keuntungan tetapi merupakan hibah atau hadiah semata-mata.

Namun keuntungan yang dicatat melalui penetapan kembali nilai (revaluation) aset termasuk saham hanya atas kertas. Sedangkan pembayaran bonus dan kos operasi memerlukan wang tunai. Untuk menentukan wujudnya wang tunai berlebihan mengikut keperluan aliran wang (cash flow) maka penjualan beberapa asset paling berharga dilakukan TH.

 

PENJUALAN ASET BERHARGA

Penjualan aset TH di London dilaporkan mendatangkan hasil hampir RM1.6 billion. Ia merupakan ‘keuntungan luar biasa’ yang mungkin dibanggakan buat masa ini tetapi ia tercapai melalui penjualan aset berharga yang selama ini telah mendatangkan pulangan yang tinggi.

Secara anggaran kasar boleh dirumuskan bahawa kesanggupan mana-mana pembeli membayar RM1.6 billion bererti aset tersebut mampu memberi pulangan melebihi RM160 juta setahun.

Adalah diyakini bahawa ianya antara beberapa pelaburan TH yang mampu memberikan pulangan melebihi 8% setahun. Dan apabila asset sebegini yang mampu memberikan pulangan tinggi dijual, apa akan dilakukan TH untuk masa-masa akan datang? Pelaburan-pelaburan lain, sama ada dalam hartanah atau saham tidak mungkin mampu mendatangkan hasil setinggi ini.

Oleh itu, sangat dikhuatiri bahawa tindakan TH adalah tidak lain daripada menjual ‘angsa yang memberikan telur emas’ selama ini (selling the goose that lays the golden egg).

Tidak boleh dinafikan bahawa hampir semua pelaburan lain mendatangkan hasil yang kurang memuaskan. Sama ada hartanah, perladangan, pembinaan atau pelaburan saham, kesemuanya tidak melebihi pencapaian purata pasaran sebanyak +/- 3%. Perkara ini turut diakui pengurusan TH semasa pertemuan dengan kami apabila disebut sejumlah besar wang tunai berada dalam simpanan Bank Islam dan hanya mendatangkan pulangan sebanyak 3% untuk tahun 2015.

Penjualan aset berharga yang mendatangkan pulangan baik dilakukan demi memenuhi kehendak pembayaran bonus tinggi. Ini adalah tindakan tidak berhemah dari sudut perniagaan tetapi mungkin mampu mencapai kesan yang diingini dari sudut ‘politik’.

 

STATUS TANAH TRX

Status tanah TRX yang pada satu ketika dahulu didakwa telah dijual dengan harga yang tinggi dan sekarang dinafikan pula, turut membimbangkan. Ini merupakan bukti jelas bahawa pembeliannya bukan hasil satu perancangan mahupun kajian yang dilakukan terlebih dahulu tetapi sebaliknya demi membantu 1MDB.

Sekiranya ianya dibeli hasil perancangan dan kajian terlebih dahulu, sudah pasti keadaan tidak menentu berhubung apa yang ingin dilakukan dengan tanah berkenaan tidak akan timbul.

Tetapi sebaliknya, jika ianya dibeli atas perkiraan selain perniagaan dan atas arahan tertentu, maka keadaan ‘tidak tahu apa nak buat dengannya’ setelah membelinya akan berlaku. Dan inilah apa yang rakyat lihat sedang berlaku sekarang.

Perancangan untuk membangunkan tanah berkenaan dengan membina pejabat adalah suatu tindakan yang mempunyai risiko tersendiri. Pertama, Tabung Haji kurang berpengalaman dalam bidang ini. Kedua, sekarang ini telah wujud ‘office-space glut’ atau ‘berlebihan ruang pejabat’ di Lembah Kelang. Pembinaan ruang pejabat baru oleh TH akan hanya merumitkan lagi keadaan.

Yang jelas pembelian tanah TRX masih belum mendatangkan apa-apa pulangan sedangkan wang yang digunakan dibayar bonus 5% ke atasnya. AMANAH mendesak supaya pihak TH menetapkan secara tuntas apa yang ingin dilakukan dengan tanah tersebut dan hentikan ketidaktentuan yang terus menjejas keyakinan pelabur dan penyimpan terhadap TH.

 

KESIMPULAN

AMANAH terus dengan cadangan-cadangnya tempoh hari supaya anggota pengurusan dan Lembaga Pengarah TH dikaji kembali dan dilantik mereka atas dasar kemampuan dan bukan sebagai balasan ke atas kesetiaan politik.

AMANAH menganggap ianya sangat diperlukan lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar. TH tidak boleh terus mengorek dari keuntungan pelaburan lama untuk keperluan semasa.

AMANAH menganggap tindakan-tindakan yang dicadangkan tempoh hari amat perlu untuk mengembalikan keyakinan pelabur dan pendeposit.

SALAHUDDIN HJ AYUB

Timbalan Presiden

Parti Amanah Negara

11 Februari 2016

CATEGORIES