'
ISU SOP Keluar Islam Di Sarawak

ISU SOP Keluar Islam Di Sarawak

1. Malaymail Online (2/3/2018) melaporkan bahawa PH Sarawak telah memohon dibuat SOP berkaitan prosedur keluar Islam.

2. Sewaktu membuat kajian NHRAP, ada aduan diterima daripada masyarakat di sana mengenai isu ini yang mana mereka mengadu kepayahan untuk mendapatkan status agama mereka. Ini kerana mereka menyatakan bahawa hanya nama dalam kad pengenalan mereka yang mirip nama orang Islam tetapi mereka tidak pernah beramal dalam agama Islam.

3. Ini banyak sekali berlaku di Sabah atau Sarawak kerana masyarakat di sana terdiri daripada pelbagai etnik dan berlaku inter-marriage. Jadi kadang-kala ada pasangan yang mendaftar nama sebagai orang Islam (bukan menganut Islam) kerana ingin berkahwin dan kemudian bercerai. Anak-anak pun terabai dan dijaga oleh keluarga bukan Islam semenjak kecil sehingga besar.

4. Masalah mereka adalah kerana Mahkamah Syariah di sana enggan menerima penfailan kes kerana tiada undang-undang yang jelas. Mahkamah Syariah meminta hal ini diselesaikan di peringkat pejabat agama. JPN pula hanya mengiktiraf perintah rasmi Mahkamah Syariah (akhirnya melalui perbincangan dalaman JPN mengecualikan perintah Mahkamah Syariah bagi negeri Sarawak dan memadai dengan pengesahan status agama Islam oleh pejabat agama).

5. Jadi, apabila hal ini diletakkan di bawah pejabat agama Islam, ianya lebih bersifat administratif atau pentadbiran. Setiap perkara yang berkaitan pentadbiran perlukan SOP yang jelas supaya wujud sistem yang teratur. Bagi saya apa yang dicadangkan oleh PH Sarawak itu adalah isu yang perlu diselesaikan bagi keharmonian dan maslahah di sana. Saya percaya kerajaan BN Sarawak pada masa Allahyarham Tan Sri Adenan Satem juga akan mengambil tindakan yang sama.

6. Berkaitan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang menolak untuk memberikan kuasa kepada Mahkamah Sivil atas alasan bahawa Mahkamah Syariah sudah mempunyai bidangkuasa ekslusif dalam hal ini sepatutnya disambut baik oleh pejabat agama Islam dan kerajaan negeri Sarawak. Sudah ada negeri yang menggubal undang-undang ini, contohnya di Negeri Sembilan. Alangkah baiknya jika pentadbiran agama Islam dapat diperkemaskan dengan memperincikan dengan jelas prosedur, SOP dan disokong dengan undang-undang.

7. Ingatlah bahawa hari ini Mahkamah Persekutuan telah memberikan kuasa tersebut kepada Mahkamah Syariah. Jika pejabat agama Islam gagal bertindak pantas, dikhuatiri akan datang Mahkamah Persekutuan memberikan pentafsiran yang berbeza. Maka, tatkala itu tak guna lagi untuk menyesal.

Dr Zulqarnain Lukman
3 Mac 2018 / 15 Jamadil Akhir 1439H

Sumbang RM15 atau lebih untuk bantu kempen kami

——————————————————–

ENAKMEN 10 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003
BAHAGIAN XI – AM

Seksyen 119. Keluar daripada Agama Islam

(1) Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam atau disifatkan telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

(2) Suatu permohonan bagi perisytiharan di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat secara ex parte kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam mahkamah terbuka oleh orang yang berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.

(2A) Suatu permohonan bagi pengisytiharan di bawah subseksyen (2) boleh dibuat jika-

(i) pemohon dilahirkan sebagai seorang Islam, dia hendaklah dilahirkan dan domisil di dalam Negeri Sembilan; atau

(ii) pemohon seorang muallaf, dia hendaklah memeluk Agama Islam di dalam Negeri Sembilan, telah berdaftar mengikut peruntukan seksyen 111 dan domisil di dalam Negeri Sembilan.
[Mas. En.A4/2009: s.2a]
(3) Suatu permohonan di bawah subseksyen (2) hendaklah menyatakan alasan-alasan yang berdasarkannya pemohon berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya dan hendaklah disokong oleh suatu afidavit yang menyatakan semua fakta yang menyokong alasan permohonan itu.

(4) Setelah diterima permohonan di bawah subseksyen (2), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar permohonan tersebut hendaklah—
(a) menasihati orang itu supaya bertaubat, dan jika Hakim berpuas hati orang itu telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, hendak merekodkan taubat orang itu; atau

(b) jika orang itu enggan bertaubat, sebelum membuat apa-apa perintah terhadap orang itu, menangguhkan pendengaran permohonan itu untuk tempoh 90 hari dan pada masa yang sama menghendaki pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Agama Islam sebagai agamanya.
(4A) Majlis hendaklah melantik seorang Pegawai Perunding Cara Aqidah yang bertanggungjawab menjalankan sesi runding cara dan bimbingan seperti yang dinyatakan di bawah perenggan (4)(b).

[Mas. En.A4/2009: s.2b]
(5) Jika pada bila-bila masa orang yang dikehendaki menjalani sesi runding cara dan bimbingan itu telah bertaubat, Pegawai Perunding Cara Aqidah hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.
[Pin. En.A4/2009: s.2d]

(6) Jika Hakim berpuas hati bahawa orang yang dikemukakan di hadapannya mengikut subseksyen (5) telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, Hakim itu hendaklah merekodkan taubat orang itu.

(7) Jika setelah habis tempoh 90 hari yang disebut dalam perenggan (4)(b), orang itu masih enggan bertaubat, maka Pegawai Perunding Cara Aqidah hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.
[Pin. En.A4/2009: s.2d]

(8) Jika setelah diterima laporan yang disebut dalam subseksyen (7), Mahkamah berpendapat bahawa harapan masih ada untuk orang itu bertaubat, maka Mahkamah boleh menangguhkan pendengaran permohonan orang itu di bawah subseksyen (2) dan pada masa yang sama memerintahkan orang itu supaya menjalani sesi runding cara dan bimbingan yang selanjutnya selama tempoh yang tidak melebihi satu tahun.

(8A) Mahkamah pada bila-bila masa boleh membatalkan mana-mana permohonan pengisytiharan di bawah subseksyen (2) sekiranya pemohon gagal atau enggan menghadiri sesi runding cara dan bimbingan setelah diperintahkan oleh Mahkamah di bawah perenggan (4)(b) atau subseksyen (8).
[Mas. En.A4/2009: s.2c]

(9) Jika selepas perintah di bawah subseksyen (8) dibuat, orang itu bertaubat, maka subseksyen (5) dan (6) terpakai.

(10) Jika setelah habis tempoh yang diperintahkan di bawah subseksyen (8) dan orang itu masih enggan bertaubat, Pegawai Perunding Cara Aqidah hendaklah menyediakan suatu laporan dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa orang itu meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.
[Pin. En.A4/2009: s.2d]

(11) Sebelum Mahkamah mengiytiharkan bahawa orang itu telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya, Mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai perkara yang berikut:
(a) pembubaran perkahwinan;

(b) pembahagian harta sepencarian;

(c) hak perwalian;

(d) hak pusaka; dan

(e) hadhanah.

CATEGORIES

COMMENTS