'
ISU PINDAAN AKTA 164

ISU PINDAAN AKTA 164

1. Dalam isu pindaan RUU Memperbaharui Undang Undang ( Perkahwinan & Penceraian ) ( Pindaan ) 2017 atau juga dikenali sebagai Akta 164, sebagai Ahli Parlimen Islam , kita mempunyai pilihan sama ada ingin berhujah dengan emosi semata mata atau orang putih kata ” playing to the gallery” atau berhujah secara objektif dan tenang dan turut bersama cuba mencari satu penyelesaian yang tuntas dan praktikal kepada satu masalah yang sudah lama menghantui masyarkat di negara ini.

2. Pilihan pertama amat mudah dan mungkin tidak perlu berfikir secara mendalam bagi betul betul memahami masalah sebenar secara teliti dan cuba keluar dengan satu formula penyelesaian yang tuntas dan praktikal. Dalam banyak keadaan, mereka yang memilih opsyen pertama ini selalunya akan berhujah lebih kepada bermain dengan emosi dan sentimen. Secara relatif, pilihan ini lebih bersifat populis. Pilihan ini mungkin lebih bebas daripada risiko dikecam atau dikeji oleh ramai umat Islam khususnya yang mungkin tidak begitu faham dan arif dengan ” the nature of the real problem”.

3. Pilihan kedua adalah pilihan yang secara relatifnya lebih berisiko dan tidak populis sifatnya. Bagaimanapun, pilihan ini lebih bersifat praktikal dan realistik tanpa mengkesampingkan hukum agama jauh sekali bersifat liberal menurut definisi longgar “liberalisme” daripada pihak yang lebih konservatif dan lebih selesa menghukum. Pilihan kedua ini lebih menonjolkan aspek keadilan dan “compassion “atau ” mercy “yang menjadi teras utama Islam.

4. Walau apa pendirian atau pilihan yang ingin diambil, isu pokoknya adalah kita khususnya umat Islam kena memahami sebenar pokok masalah khususnya Akta 164 itu sendiri.

5. Secara mudah, Akta 164 adalah Akta yang mengawal perkahwinan dan penceraian orang orang bukan Islam dalam negara ini. Seksyen 3 ( 3 ) Akta ini secara jelas menyatakan bahawa Akta ini tidak terpakai kepada mana mana pihak yang berkahwin mengikut Islam/ Syariah. Dengan lain perkataan, Akta 164 tidak terpakai untuk orang orang Islam.

6. Meskipun Akta ini digubal bagi mengawal isu isu perkahwinan dan penceraian orang orang bukan Islam dan isu isu yang berkaitan dengannya seperti isu nafkah dan penjagaan anak anak, namun Akta ini juga tidak dapat lari daripada melibatkan orang Islam apabila salah satu pasangan bukan Islam itu memilih untuk memeluk Islam. Di sinilah bermulanya pertikian dan jika tidak di”handle” dengan berhati hati boleh mencetuskan masalah yang lebih besar dan rumit.

7. Ada satu peruntukkan dalam Akta 164 yang secara spesifik menyentuh isu salah satu pasangan bukan Islam memeluk Islam. Seksyen tersebut adalah seksyen 51. Sebelum Kerajaan bawa pindaan ke atas Akta 164 di Parlimen semalam, seksyen 51 memang sudah sedia bermasalah.( problematic ).

8. Sebelum pindaan, seksyen 51 memperuntukkan antara lain jika salah satu pasangan bulan Islam memeluk Islam, maka hanya pasangan yang bukan Islam sahaja yang boleh memfailkan petisyen penceraian di mahkamah sivil bagi membubarkan perkahwinan mereka. Perkahwinan itu tidak terbubar dengan sendirinya sepertimana dalam hukum Islam.Mengapa begitu? Tidak pelik sebab dari awal, Akta 164 hanya diniatkan untuk perkahwinan yang di ” solemnised under the civil law”

9. Seksyen 51 ini memang mendatangkan masalah kepada pasangan yang memilih untuk memeluk Islam sama ada suami atau isteri. Dan jika ada anak kepada perkahwinan itu, lagi ada masalah besar.

10. Kerana apa? Kerana suami atau isteri yang masuk Islam itu tidak boleh bubarkkan perkahwinan mereka sama ada secara automatik atau melalui satu perintah Mahkamah yang berkesan dan boleh berkuatkuasa ke atas dua dua pihak.

11. Misalnya jika sisuami yang masuk Islam dan isterinya masih kekal dalam agama asal ( agama non muslim ), si suami tidak boleh bubarkan perkahwinan tersebut di mahkamah sivil sebab seksyen 51 tidak benarkan dia berbuat demikian dan sekyen 3( 3 ) juga halang dia ke mahkamah sivil sebab Akta tersebut tidak lagi terpakai kepada dia sebab dia telah menjadi orang Islam.

12. Apakah pilihan dia? Logiknya, dia terpaksa pergi ke mahkamah syariah bagi mendapatkan perintah untuk bubarkan perkahwinan. Dan itulah yang selalu dilakukan dalam kes seperti itu. Tapi, adakah dengan pergi ke Mahkamah Syariah dan dapat perintah daripada Mahkamah Syariah , beliau dapat menyelesaikan masalah itu ” once and for all”.

13. Jawabannya tidak. Kenapa? Mudah. Kerana keputusan Mahkamah Syariah itu hanya laku dan berkuatkuasa kepada orang Islam sahaja. Ia tidak mengikat pasangan yang bukan Islam. Maknanya, jika katakan si suami dapat perintah mahkamah syariah yang membubarkan perkahwinan sebelum ini yang dibuat di bawah Akta 164, perintah itu tidak mengikat bekas isterinya yang masih kekal dalam agama asal. Secara teknikalnya, isteri itu masih dikira isterinya yang sah.

14. Yang lebih parah dan kronik lagi jika suami atau isteri yang Islam itu ada anak. Selalunya suami atau isteri yang islam itu akan pergi ke mahkamah syariah bukan sekadar untuk bubarkan perkahwinan asal mereka tapi ia juga akan minta mahkamah syariah keluarkan perintah penjagaan anak atau perintah mengisytiharkan anak yang bukan islam itu menjadi Islam.

15. Lumrahnya ,pasangan yang bukan Islam akan “upset” misalnya jika suami beliau bertindak secara unilateral ( sebelah pihak ) “mengislamkan” anak atau anak mereka melalui perintah di mahkamah syariah. Bagi si isteri, itu tidak adil kerana ia dibuat hanya secara ” ex-parte” ( sebelah pihak ) dan ia tidak diberi hak untuk didengar ( rights to be heard ).

16. Yang lebih merumitkan keadaan dan benar benar megecewakan lagi isteri yang bukan Islam, kadangkala bukan sahaja si suami yang Islam itu” mengislamkan” anak atau anak mereka secara sebelah pihak, anak atau anak itu juga kadangkala “dibawa lari” oleh si suami tanpa pengetahuan isteri. Kita boleh memahami betapa sedih, kecewa dan marah mana mana ibu yang dipisahkan dengan anak atau anak yang beliau susah payah lahirkan. Ini naluri ibu tanpa mengira agama. Malangnya, ada setengah orang Islam seolah olah tidak kisah akan hal ini.

17. Tetapi, untuk berlaku adil kepada suami yang Islam, adakah beliau ada pilihan lain selain pergi ke Mahkamah Syariah? Di sinilah dilemanya. Sisuami tidak boleh ke mahkamah sivil sebab seksyen 51 halang beliau. Jika sekalipun beliau dapat perintah mahkamah syariah, perintah itu tidak boleh mengikat atau dikuatkuasa kepada isterinya yang masih kekal dalam agama asal.

18. Dalam keadaan yang serumit itu , ia akan bertambah rumit lagi apabila si steri yang masih beragama asal itu pula pergi ke mahkamah sivil dan dapat juga perintah penjagaan anak atau anak mereka dan mungkin juga perintah deklarasi bahawa anak anak itu masih kekal dalam agama asal.

19. Maknanya , kini ada dua perintah mahkamah. Satu , perintah mahkamah syariah ( suami yang Islam perolehi ) dan satu lagi perintah mahkamah sivil ( isteri yang bukan Islam perolehi ).

20.Itulah kedudukan masalah sebelum pindaan ke atas Akta 164 dibawa ke Parlimen semalam.

21. Bagi menyelesaikan masalah itu, Kerajaan nampaknya cuba pinda seksye 51 Akta tersebut dengan cadangan agar bila salah satu pasangan yang bukan Islam itu masuk Islam, maka salah seorang dari mereka boleh ( may ) memfailkan petisyen penceraian di mahkamah sivil. Pindaan itu juga mencadangkan kedua dia pihak juga boleh memfailkan petisyen bersama ( a joint petition ) penceraian di mahkamah sivil. Dan sekiranya petisyen difailkan, maka mahkamah sivil boleh juga dalam masa yang sama menentukan isu isu sampingan seperti isu penjagaan anak atau nafkah. Dalam perundangan ia dipanggil ” ancillary reliefs”.

22. Secara jujur ,pindaan ini , bagi saya, agak baik kerana sebelum ini ,pasangan yang peluk Islam langsung tidak boleh pergi ke mahkamah sivil. Kini ,ia boleh jika ia hendak.

23. Tetapi secara realistik, adakah pindaan ini boleh seratus peratus selesaikan masalah? Di sini , maaf , saya berbeza pendapat dengan Kerajaan.

24. Kalau Kerajaan harapkan pindaan tersebut boleh halang sama sekali mana mana pihak yang masuk Islam dari pergi ke mahkamah syariah seperti sebelum pindaan, saya kata, semasa perbahasan semalam, ia mungkin tidak berlaku seratus peratus. Yb Shah Alam ( Amanah ) juga berkongsi sentimen yang sama.Kerana apa?

25. Saya kata demikian kerana pindaan yang dikemukakan untuk pinda seksyen 51 tersebut tidak menjadikan suatu yang mandatori untuk mana pasangan yang masuk Islam wajib memfailkan petisyen penceraian di mahkamah sivil. Dengan lain perkataan, pindaan itu tidaklah memberi hak ekslusif hanya kepada mahkamah sivil untuk dengar kes petisyen penceraian atas alasan suatu pihak sudah masuk Islam.

26. Dalam bahasa yang mudah, dengan pindaan tersebut, ia tidak menjamin seratus peratus yang pasangan yang telah peluk Islam tidak boleh lagi ke mahkamah syariah seperti dulu. Pindaan itu sekadar beri ia opsyen untuk ke mahkamah sivil, jika ia mahu.

27. Kerajaan selalu kata memandangkan perkahwinan asal dibuat di bawah Akta 164 ( secara sivil ), maka apa yang berlaku selepas itu mestilah diselesaikan sepenuhya secara sivil iaitu jika ada pertikaian kena pergi ke mahkamah sivil. Bagi saya, itu satu proposisi yang agak munasabah dan wajar. Tapi, adakah pindaan yang dicadangkan pada seksyen 51 itu benar benar menyokong proposisi tersebut?

28. Maaf, saya ragu.

29. Saya tidak mahu komen mengenai penarikkan balik pindaan yang cuba masukkan seksyen baru iaitu seksyen 88A. Cuma saya nak kata dalam hal “conversion” anak ini saya rasa para ulama tidak wajar sama sekali mengenepikan sama sekali pandangan fiqh meskipun pendapat minoriti yang mungkin lebih realistik dan prakrikal.

30. Saya masih ingat mantan pensyarah saya, almahum Prof.Dr. Saedon Awang Othman pernah beritahu saya ketika beliau diminta gubal undang undang keterangan Islam , beliau banyak mengambil pendapat minoriti yang bagi beliau lebih realistik dan sesuai di zaman ini. Di sinilah , betapa kita perlu menghargai ruh ” ikhtlilafu ummati rahmat” ( Perselisihan di kalangan umatku adalah rahmat ) dan juga kata kata Umar ‘Abdul Aziz r.a. “aku tidak suka jika para sahabat Nabi s.a.w tidak berbeza pendapat…”

30 . Yb Dr Mujahid ( MP Amanah Parit Buntar ) dalam perbahasan beliau telah kemukakan satu pendapat minoriti dari Imam Sufyan Al-Thouri berkaitan isu ini, yang mungkin lebih sesuai, praktikal dan realistik.

Allah lebih mengetahui.

MOHAMED HANIPA MAIDIN
AHLI PARLIMEN SEPANG
PENGERUSI KANUN
10.8.2017

CATEGORIES

COMMENTS