ISU CADANGAN PENGGABUNGAN AMANAH-KEADILAN


 

1. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan sejawat saya YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang melahirkan pandangan mengenai idea perlunya pergabungan antara Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

2. Untuk pengetahuan semua, AMANAH tampil bagi mengisi posisi serta melanjutkan perjuangan lslam yang mengambil pendekatan inklusif dan progresif untuk bersama mensejahterakan rakyat dan dalam rangka kebangunan semula negara (nation-rebuilding).

3. AMANAH bersama-sama rakan-rakan Keadilan dan DAP menubuhkan Pakatan Harapan (PH). Sekarang ini dengan kehadiran Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama PH telah menjadikan peranan AMANAH dan semua parti-parti dalam PH dan Bersatu semakin penting dalam usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional.

4. Oleh yang demikian saya sebagai mewakili pimpinan dan ahli-ahli AMANAH merasakan isu pergabungan Amanah dan PKR tidak berbangkit sama sekali. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan mengharapkan hubungan yang kukuh antara kita akan kekal seutuhnya.

Amanah Demi Negara

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara

20 Disember, 2016