SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM 1437H
Muqaddimah:
Tahun baru Hijrah kembali menemui kita pada hari Rabu, 14hb Oktober ini. Setiap kali menyambutnya, kita diingatkan akan peristiwa Hijrah yang merupakan pengorbanan besar dilakukan orang-orang beriman bersama Rasulullah (SAW) di Mekah. Mereka meninggalkan kampung halaman mereka berhijrah ke Madinah, satu tempat yang asing, dihuni oleh orang yang tidak mereka kenali. Namun demi cinta mereka terhadap Allah dan Rasulullah (SAW) mereka berhijrah. Mereka berhijrah sehelai sepingang supaya kebenaran Islam dan ajarannya dapat dipraktikkan dan dilaksanakan di Madinah setelah ianya dimusuhi dan ditentang habis-habisan oleh penduduk Mekah, iaitu kaum kerabat mereka sendiri.
Keutamaan peristiwa Hijrah:
Peristiwa hijrah ini merupakan bukti betapa perlunya untuk memperlihatkan risalah Islam melalui perlaksanaan dengan terbentuknya sebuah kerajaan yang berdaulat. Keperluan ini mengatasi segala pertimbangan. Mengatasi walaupun perasaan kasih untuk kampung halaman dan talian persaudaraan. Bukan sekadar bangsa atau pun kaum, tetapi walaupun sekeluarga, kepentingan Islam mengatasi segala-galanya.
Peristiwa hijrah ini merupakan pembuka pintu ke arah penghayatan Islam dengan diberikan kepimpinan dan pemerintahan kepada Rasulullah (SAW) di kota Madinah. Kepimpinan diserahkan atas kerelaan pimpinan dan penduduk tempatan, iaitu golongan Ansar yang terdiri daripada kabilah Aus dan Khazraj dan bukan atas dasar paksaan.
Maka Hijrah dilihat sebagai peristiwa melalui mana Islam mula hidup bebas dan berdaulat. Bebas dari kongkongan dan penindasan kerajaan yang memusuhi risalahnya. Oleh itu tahun berlakunya Hijrah itu amat sesuai digunakan sebagai tahun pertama dalam taqwim Islam.
Pengajaran dari Peristiwa Hijrah:
Bagi yang menghayati peristiwa Hijrah, sudah semestinya mereka mengambil pengajaran darinya untuk menolak pendekatan perkauman dan juga paksaan atau keganasan. Risalah dibentang kepada semua dan terserah kepada siapa yang ingin menerimanya. Tiada apa-apa usaha untuk menjadikan sesuatu kaum atau kelompok sebagai musuh. Kalau ada yang dimusuhi sekalipun, hanya mereka yang memusuhi perjuangan Islam dengan menzalimi para pejuangnya, walaupun sebangsa.
Dan dakwah itu dilakukan dengan penuh kebijaksanaan, menzahirkan akhlak yang mulia, sehingga menarik manusia kepada kebenaran Islam. Dan perlaksanaan Islam itu sendiri, dari sudut perundangannya, dilakukan secara berperingkat-peringkat sesuai dengan tahap kefahaman dan penghayatan Islam oleh masyarakat. Sehingga akhirnya terlaksana Islam dengan sepenuhnya tanpa paksaan atau keganasan tetapi atas keyakinan dan penerimaan secara suka-rela.
Dan melalui Hijrah itu akhirnya terbentuk sebuah kerajaan yang adil lagi berakhlak mulia, didukung oleh rakyat dan penduduk atas sebab keadilannya.
Suasana semasa dunia Islam:
Keperluan bagi ummat Islam terhadap pemerintahan yang tegas dari segi prinsip keadilan dan kebenaran semakin mendesak apabila dilihat suasana ummat Islam di seluruh dunia. Masalah kezaliman dan pembersihan etnik yang menimpa kaum Rohingya, kezaliman Israel yang berterusan di Palestin, kemusnahan yang berlaku di Syria, Iraq, Yaman, Afghanistan dan Libya, semua ini mendambakan kemunculan kerajaan di setiap negara ummat Islam yang mementingkan persoalan keadilan dan kebenaran supaya ummat Islam itu boleh membangun bebas dan bermaruah sehingga mampu mempengaruhi perkembangan dan dasar politik di pentas antarabangsa.
Ummat yang lemah dan dikongkong di negara sendiri, oleh kepimpinan yang terpalit dengan rasuah dan kezaliman, tidak akan mampu melakukan apa-apa. Kalau dalam ruang kekuasaan terhad yang ada sekalipun, di negara masing-masing, ummat Islam tidak mampu memperlihatkan akhlak mulia dan keadilan dalam pemerintahan, bagaimana suara ummat akan diambil kira di pentas antarabangsa?
Di saat kita menyambut Hijrah tahun ini, dunia Islam sedang menghadapi cabaran yang amat getir. Di bumi Palestin Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama ummat Islam sedang diancam oleh kerakusan rejim Zionis Israel. Pada masa sama, bumi Syria terus dibasahi darah ribuan anak-anak kecil dan ibu-ibu yang tidak berdosa yang terbunuh dalam konflik yang tidak menampakkan jalan penyelesaian. Hingga kini lebih 7 juta rakyat Syria terpaksa menjadi pelarian di seluruh pelusuk dunia.
Ini menuntut kebangkitan ummat. Tetapi bukan sekadar melalui laungan cogan kata di sepanjang jalan sambil berdemonstrasi atau tindakan keganasan yang tidak menentu, tetapi melalui satu usaha terancang dan tersusun rapi. Sambil membantah kezaliman ini dengan kemampuan yang ada, perlu juga didatangkan perubahan di negara sendiri, dengan ditegakkan pemerintahan yang bersih dan berakhlak. Baru dengan itu akan terbebasnya Islam dan ummatnya dari kongkongan yang mencekik dan melemahkan ummat sepertimana pernah dialami Baginda (SAW) di Mekah.
Kesimpulan:
Melalui Parti Amanah Negara (AMANAH) kami ingin menzahirkan kemulian akhlak Islam dalam memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua. Kami yakin ini dapat kami lakukan bersama pemerintahan yang berpaksikan prinsip keadilan dan demokratik seperti yang diperjuangkan Pakatan Harapan. Kita perlu bermula dari negara sendiri, membetulkan yang ada dalam kekuasaan kita terlebih dahulu sebelum mampu membetulkan apa yang sedang berlaku di peringkat antarabangsa. Kegagalan kita untuk membetulkan diri kita di peringkat negara kita sendiri akan bererti kegagalan untuk membantu saudara kita di seluruh dunia.
Amanah Negara ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan;
“Selamat Tahun Baru Hijriah, semoga perjuangan menghayati Islam diteruskan dengan kaedah yang benar lagi tepat, bebas dari kesempitan perkauman dan dari paksaan mahupun keganasan.
Hayati semangat Hijrah, pembebasan dari belenggu kezaliman dan penindasan demi menegakkan keadilan dan kerahmatan Illahi”.
“HARAPAN BARU”
“ISLAM, RAHMAT UNTUK SEMUA”
KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi,
Parti Amanah Negara (AMANAH)
13 Oktober 2015
29 Zulhijjah 1436H