Bukan program Amanah, kata setiausaha


image (8)

SHAH ALAM – Majlis Pelancaran Perdana Parti Amanah Negara (Amanah) yang diadakan semalam bukan anjuran Amanah sebaliknya anjuran Parti Pekerja Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir berkata, program yang diadakan di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) itu merupakan majlis mempekenalkan logo, bendera dan nama baru Parti Pekerja Malaysia iaitu Amanah.

“Tidak timbul isu kami (Amanah) melanggar peraturan diperuntukan (Akta Pertubuhan 1966). Pendaftar Pertubuhan (RoS) maklum mengenai program ini. Ini bukan program Amanah, tetapi anjuran Parti Pekerja Malaysia.

“Sebelum majlis ini dibuat pertemuan diatur bersama Pengarah Pengurusan RoS untuk meminta nasihat dan rujukan serta menerangkan kepada mereka mengenai program hari ini (semalam),” katanya pada sidang media majlis Pelancaran Perdana Amanah, semalam.

Katanya, segala dokumentasi lengkap telah diserahkan kepada RoS untuk kelulusan selaras dengan Akta Pertubuhan 1966.

“Menurut RoS, beberapa proses perlu dilalui sebelum ia boleh diluluskan. Jadi tidak timbul isu bahawa parti ini tidak mendapat kelulusan atau tidak, orang hanya membesarkan cerita,” katanya.

Katanya, ahli Parti Pekerja Malaysia dari seluruh negara hadir pada majlis pelancaran hari ini.

Turut hadir beberapa pemimpin tertinggi PKR dan DAP.

Antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Rafizi Ramli.

Turut hadir, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Pada majlis berkenaan turut diadakan simbolik penyerahan bendera Amanah kepada Parti Pekerja Malaysia yang disampaikan kepada anak mendiang iaitu pengasas Parti Pekerja Malaysia, Ganga Nayar.

Sehingga hari ini, Parti Pekerja Malaysia mempunyai seramai 30,018 ahli berdaftar. Kelantan memiliki ahli teramai dengan jumlah berdaftar melebihi 7,000 orang diikuti Johor dan Selangor.

Sinar Harian, semalam melaporkan, bahawa Parti Pekerja Malaysia boleh dikenakan tindakan undang-undang jika menggunakan nama Amanah walaupun belum mendapat kelulusan ROS.

Ia selaras dengan ketetapan di bawah Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966. Parti berkenaan juga dilarang mengadakan sebarang aktiviti atas nama Amanah selagi pertukaran nama belum diluluskan ROS.

SUMBER: Sinar Harian