'

BN Johor hilang MAJORITI 2/3

Kenyataan Media Pengerusi Amanah Johor

YB_Aminolhuda

Komposisi ADUN di Dewan Undangan Negeri Johor kini berubah selepas kenyataan TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada 6 Oktober 2016 mengenai perlantikan pegawai kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) iaitu YB Datuk Dr Shahruddin bin Md Salleh sebagai Setiausaha Agung.

Perlantikan ini dibuat selaras dengan peruntukan Fasal 13.7 perlembagaan parti PPBM. Beliau merupakan mantan Naib Ketua UMNO Bahagian Pagoh dan kini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak.

Berdasarkan kepada perlembagaan parti, sekiranya seseorang Ahli Yang Berhormat menyertai parti lain, maka secara automatik keahlian parti lamanya gugur.

Maka saya melihat berlaku kekurangan Ahli Yang Berhormat di Pihak Kerajaan Barisan Nasional Negeri Johor kerana YB Datuk Dr. Shahruddin Mohd Salleh telah meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia.

Ini bermakna ahli dewan undangan negeri daripada Barisan Nasional Johor telah berkurang dari 38 kepada 37 manakala Barisan Pembangkang bertambah dari 18 Ahli Yang Berhormat kepada 19.

Ini juga bermakna buat pertama kalinya dalam sejarah, Negeri Johor ditadbir oleh sebuah kerajaan yang tidak memperolehi 2/3 majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri.

Implikasi utama apabila kehilangan majoriti 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri ialah Kerajaan UMNO/BN tidak boleh meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

Saya menjangkakan akan berlaku kejutan sebelum pembubaran Dewan apabila ada beberapa lagi Ahli Yang Berhormat dari UMNO yang akan turut meninggalkan parti.

Di sini saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat datang kepada YB Datuk Dr Shahruddin Mohd Salleh ke Barisan kami. Diharap kita bersama-sama dapat mengembeling tenaga menewaskan BN/UMNO dalam PRU ke 14 dan menggantikannya dengan sebuah kerajaan yang adil serta bersih rasuah untuk kebaikan rakyat jelata.

#Hapuskan rasuah
Perkukuhkan integriti #

YB Aminolhuda Hassan
Pengerusi Amanah Johor
Adun Pt. Yaani

CATEGORIES
TAGS