AMANAH MAHU SPRM BUKA SEMULA SIASATAN 1MDB

MEMORANDUM KEPADA SPRM MENUNTUT SIASATAN KES 1MDB DIBUKA SEMULA

1. Parti Amanah Negara (AMANAH) melihat isu dakwaan penyelewengan berkaitan 1MDB masih tergantung tanpa jawapan dan belum dapat diselesaikan oleh penguat kuasa undang-undang negara.

2. Penyiasatan kes tersebut yang turut melibatkan SPRM sebelum ini kelihatan tidak lengkap di mana masih ramai saksi-saksi yang didakwa terlibat dalam transaksi yang berkaitan 1MDB sama ada di dalam mahupun di luar negara belum disiasat kesemuanya.

3. Cara penyiasatan ditutup dan rumusan penyiasatan dibuat (menyatakan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Dato’ Seri Najib Razak adalah dana sumbangan penderma dan bukannya dari 1MDB) gagal memberi keyakinan kepada rakyat malah menimbulkan lebih banyak persoalan.

4. Oleh kerana skandal 1MDB sudah menjadi perhatian dunia, Malaysia perlu membuktikan bahawa negara ini mempunyai sistem keadilan yang cekap, berintegriti dan mampu untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut dan gentar serta bebas dari campur tangan pihak berkepentingan.

5. Dengan wujudnya keterangan-keterangan yang belum disiasat sepenuhnya, termasuklah pendedahan yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) dan Pejabat Peguam Negara Switzerland serta penangkapan Khadem Al-Qubaisyi oleh pihak berkuasa Abu Dhabi baru-baru ini, AMANAH dengan ini mendesak SPRM dengan segera mungkin membuka semula siasatan penyelewengan wang 1MDB secara lebih mendalam dan tegas serta bebas dari campur tangan dari mana-mana pihak.

6. SPRM juga perlu mendapatkan keterangan dan dokumen daripada semua saksi-saksi penting dan suspek yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan ini termasuklah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib untuk melengkapkan siasatan dengan sempurna.

7. Kegagalan SPRM untuk membuka semula siasatan akan menguatkan lagi dakwaan bahawa badan ini sudah hilang integriti dan tidak lagi bebas. Dan sekiranya ini benar, ianya merupakan bencana yang cukup besar untuk masa depan Malaysia.

8. Sebagai bekas anggota Jawatankuasa Khas SPRM, adalah menjadi tanggungjawab bersama saya untuk memberi sumbangan ke arah memperkukuhkan lagi wibawa SPRM .

9. Di antara perjuangan besar yang masih belum selesai bagi memberdaya SPRM ialah memberikan semula kuasa pendakwaan SPRM untuk mendakwa terutama kes-kes yang berprofil tinggi.

10. Sekiranya rakyat memberikan mandat baru kepada Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU14, AMANAH akan memastikan struktur urus tadbir SPRM akan diletakkan di bawah Parlimen Malaysia demi mengangkat integriti dan memastikan peranannya benar-benar bebas dari campur tangan pihak eksekutif.

AMANAH DEMI NEGARA

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
28 Disember 2016

Facebook Comments