PEMBEBASAN SAFWAN ANANG: PERJALANAN PANJANG MENUNTUT PILIHANRAYA BERSIH & MEMANSUHKAN AKTA HASUTAN

Kenyataan Media

 

1. Tahniah diucapkan kepada pasukan peguam yang telah bertungkus-lumus berusaha hingga akhirnya Sdr. Safwan Anang dibebaskan. Tidak ketinggalan rakan-rakan aktivis yang konsisten bersama Sdr. Safwan daripada awal perbicaraan hingga akhir. Teramat penting, Pn. Masturah Abu Bakar, isteri Sdr. Safwan serta anak-anak yang tabah menghadapi liku-liku mehnah sepanjang proses perbicaraan berlangsung.

2. Keputusan hari ini menjadi penanda aras baharu kebangkitan anak muda dalam menyuarakan hak dan berjuang demi masa depan yang lebih baik. Lebih penting, kritikan dan luahan tidak puas hati terhadap proses pilihanraya pincang kini bukan suatu jenayah, dan rakyat tidak perlu takut menuntut lunas-lunas demokrasi ditegakkan. Ia sebuah perjalanan panjang bagi memastikan proses demokrasi berfungsi dengan baik, seterusnya memulangkan hak kepada rakyat memilih kepimpinan terbaik negara.

3. Walau keputusan kali ini berpihak kepada rakyat, Akta Hasutan yang digunakan sekian kerap untuk menzalimi para aktivis rakyat tetap merupakan undang-undang yang wajib ditolak. Memansuhkan undang-undang rimba ini akan terus menjadi sebahagian daripada perjuangan “institutional reform” sebagaimana yang diidamkan seluruh pihak. Malaysia berhak mempunyai undang-undang yang jauh lebih baik, bukan undang-undang “mala fide” seperti ini.

4. Buat seluruh rakyat Malaysia, mengambil sikap dan bersuara merupakan langkah pertama untuk negara ini berubah. Perubahan tidak datang percuma apatah lagi dengan jalan yang mudah dan enak-enak. Prinsip dan konsistensi akan terus berharga mahal walau imbalannya lokap dan penjara. Teruskan. Jangan pernah berhenti.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

20 Disember 2016

Facebook Comments