KEKALKAN MOMENTUM PERUBAHAN, SEGERAKAN PILIHANRAYA NEGERI

Kenyataan Media

sany

www.amanah.org.my

Pemuda AMANAH bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Gelang Patah, YB Sdr. Lim Kit Siang agar Selangor mengadakan pilihanraya negeri lebih awal. Bahkan lebih baik jika langkah tersebut disekalikan dengan Pulau Pinang agar momentum penolakan rakyat terhadap Najib Tun Razak mampu digarap ke arah gelombang yang lebih besar.

Suka ataupun tidak, Najib Tun Razak akan memastikan persempadanan semula ini terlaksana dan bakal memanfaatkan sepenuhnya ‘gerrymandering’ yang diolah untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri. Jika pendokong perubahan mahu kekal mengikut arus yang sedang digerakkan ini, maka impian perubahan yang mahu dicapai dalam Pilihanraya Umum akan datang sudah boleh dikuburkan.

Rundingan ke arah pembahagian kerusi di kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan (AMANAH, KEADILAN dan DAP) perlu berjalan dengan pantas. Parti-parti lain seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga perlu dilibatkan jika matlamat satu lawan satu mahu direalisasikan. Bahkan jika Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah tuntas berpendirian untuk mengalahkan Najib Tun Razak juga, tidak salah untuk dilibatkan sama dalam perbincangan.

Ahli politik Pakatan Harapan bertanggungjawab untuk memastikan impian perubahan yang diingini rakyat terlaksana. Ketepikan ego yang tidak bertempat. Rakyat telah lama menunggu untuk menolak Najib Tun Razak dan Barisan Nasional. Nah, bola kini di kaki kita. Mahu dirembat terus ke gawang lawan atau terus berpusing-pusing di tengah padang.

“Harapan Baru”

SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

20 September 2016

Facebook Comments