'

BILAKAH KEBENARAN MERANCANG DIBERIKAN KEPADA SYARIKAT KONSESI?

Merujuk kepada kenyataan yang diberikan oleh YAB Dato Menteri Besar Selangor Tuan Azmin Ali di media pada 30 Oktober 2015 berhubung pembinaan tiga lebuhraya bertol di Selangor iaitu EKVE, SUKE & DASH; beliau menyebut bahawa kelulusan secara prinsip (approval in principle) bukan dibuat pada zaman beliau sebaliknya telah diberikan sebelum beliau jadi Dato’ Menteri Besar Selangor lagi.

Jika YAB Azmin Ali merujuk bahawa kelulusan berprinsip itu merupakan kelulusan tunggal yang membolehkan syarikat konsesi memulakan satu-satu kerja pembinaan, saya kira rujukan itu tidak tepat. Kelulusan akhir yang diperlukan oleh syarikat konsesi melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah Kebenaran Merancang (KM). Tanpa KM, syarikat konsesi tidak boleh memacakkan waimma satu tiang pun di mana-mana tanah bawah Negeri Selangor.

Soalan yang ingin ditanyakan kepada YAB Azmin Ali ialah, bilakah Kebenaran Merancang untuk pembinaan Fasa 1 EKVE diberikan? Bilakah pula Kebenaran Merancang untuk DASH dan juga SUKE diluluskan?

Saya berpandangan, kedua-dua soalan ini perlu dijawab dengan jujur oleh YAB Azmin Ali. Umum mengetahui bahawa Pakatan Rakyat (dahulunya) pernah ‘bermain tali’ berhubung Kebenaran Merancang Langat 2 lantaran kehendak mereka yang masih belum dipenuhi Kerajaan Persekutuan ketika itu. Hal ini menunjukkan bahawa Kebenaran Merancang merupakan senjata ampuh untuk kerajaan pimpinan YAB Azmin Ali memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat yang marah terhadap kenaikan tol yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan yang lalu.

Justeru jika Kebenaran Merancang ini telah diberikan sewenang-wenangnya oleh Kerajaan Selangor melalui PBT, tanpa mengambil kira tuntutan awal parti-parti pembangkang untuk memansuhkan tol, saya berpandangan YAB Azmin Ali telah persetankan (saya pinjam istilah YAB) untuk memenuhi citra dan impian rakyat yang jelik dengan kerakusan dasar Barisan Nasional.

Lantas dengan penuh rendah hati – demi rakyat – saya memohon agar dua soalan ringkas yang saya berikan di atas dijawab sejujurnya. Terima kasih YAB.

WAN ANWAR WAN IBRAHIM
Naib Ketua (Kenegaraan & Isu-Isu Semasa) Pemuda AMANAH Nasional

 

pemuda_wawi

 

 

CATEGORIES
TAGS