'

BATALKAN KENAIKAN ‘GILA’ CAJ PARKIR DI KUALA LUMPUR

www.amanah.org.my

 

faiz

Pemuda AMANAH mengecam tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikan caj parkir 150 peratus bagi kawasan miliknya di Kuala Lumpur yang bermula 18 Julai 2016. Kenaikan ‘gila’ ini melibatkan caj parkir di kawasan pusat bandar komersial daripada 80 sen sejam kepada RM2 untuk jam yang pertama. Kadar caj juga dinaikkan kepada RM3 bagi jam kedua dan RM3 untuk jam berikutnya.

Kenaikan mendadak ini menyebabkan pengguna yang meletak kenderaan dari jam 7.30 pagi hingga jam 6.00 petang terpaksa membayar sebanyak RM32 sehari.

Alasan kenaikan kadar caj parkir oleh Datuk Seri Tengku Adnan selaku Menteri Wilayah Persekutuan adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas selain merupakan alternatif kerajaan dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, adalah alasan remeh dan tidak masuk akal.

Terdapat kaedah lain untuk mengurangkan kesesakan lalulintas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Antaranya dengan menurunkan tambang pengangkutan awam, meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan mendidik rakyat tentang kepentingan penggunaan pengangkutan awam.

Tindakan kenaikan caj parkir ini jelas menunjukkan kerajaan tiada cara lain untuk menjana pendapatan selain daripada mengenakan pelbagai caj yang tinggi ke atas rakyat. Penduduk di Lembah Kelang terutamanya warga pekerja adalah segmen yang paling terkesan dengan tindakan sebegini kerana mereka terpaksa juga berbelanja lebih untuk petrol dan tol lebuhraya. Ini belum lagi dikira bebanan kenaikan harga barang akibat GST yang dikenakan ke atas setiap segmen rakyat.

Inilah kesan apabila tatakelola pentadbiran negara tidak diurus dengan amanah dan betul ditambah pula dengan sistem kewangan negara yang korup telah memberikan impak buruk kepada ekonomi negara. Akhirnya, beban korupsi pemimpin kerajaan perlu ditanggung rakyat tatkala kehidupan rakyat semakin hari semakin susah.

Justeru, Pemuda AMANAH mendesak pihak DBKL untuk membatalkan kenaikan caj parkir yang membebankan ini. Kerajaan juga didesak untuk menurunkan semua caj pengangkutan awam dan tol lebuhraya agar keperitan rakyat dapat diringankan. Slogan kerajaan bahawa ‘rakyat didahulukan’ perlu dikotakan.

FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda / Pengarah Biro Pengguna & Pekerja
Pemuda AMANAH Nasional

19 Julai 2016

CATEGORIES
TAGS