Anggota Asean perlu bantu Indonesia


saladinSHAH ALAM – Semua negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) digesa menghantar kepakaran dan jentera bagi sama-sama menyelesaikan masalah jerebu yang hampir sebulan melanda negara Indonesia.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub berkata, ia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan anggota Asean pernah sama-sama terlibat dalam membantu misi carian pesawat hilang MH370.

“Kami minta semua negara Asean khasnya yang berjiran dengan Indonesia supaya segera tampil menghulurkan bantuan kepada Indonesia. Kebakaran yang berlaku tidak menampakkan tanda positif ianya akan kembali pulih.

“Ia turut memberi kesan kepada beberapa negara lain termasuk Malaysia sehingga bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri di negara ini mencapai tahap bahaya yang menyebabkan sesi persekolahan terpaksa ditutup beberapa kali,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Malaysia sebelum ini digesa menggunakan status sebagai pengerusi Asean tahun ini, untuk menangani krisis jerebu yang melanda rantau ini.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, Malaysia boleh membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat serantau supaya isu jerebu dapat diselesaikan.

Tambahnya lagi, sudah tiba masanya bagi negara Asean untuk menghantar pasukan dan jentera terbaik bagi membantu pasukan penyelamat Indonesia tanpa menafikan hak negara-negara jiran untuk mengambil tindakan undang-undang kerana masalah tersebut.

“Apa yang lebih penting ketika ini adalah bagaimana kesatuan anggota Asean dalam membantu negara-negara jiran jika berlaku kejadian serupa, dengan melihat kelebihan dan kemampuan negara lain.

“Maka membantu Indonesia adalah permulaan terbaik untuk mempraktikkan kesatuan yang mahu dibentuk,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian Online