Meskipun pelancaran Parti Amanah Negara (Amanah) berlangsung sebelum diluluskan penukaran namanya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), setiausaha agung parti Anuar Tahir yakin kelulusan akan diperolehi dalam masa terdekat.
Katanya, memandangkan buat masa ini permohonan untuk menukar nama Parti Pekerja-Pekerja Malaysia masih belum diluluskan, Amanah belum bergerak secara rasmi dan hanya akan beroperasi selepas itu.
“Kami sudah berjumpa dengan pihak RoS dan tiada apa-apa masalah. Kini ada beberapa proses permohonan yang ambil masa beberapa hari,” katanya pada sidang media selepas pelancaran perdana Amanah di Shah Alam.
Beliau menjelaskan, program hari ini, yang dihadiri lebih 3,000 hadirin serba jingga memenuhi dewan, merupakan pelancaran nama baru oleh Parti Pekerja.
“Setelah merujuk dan meminta nasihat, kami adakan program ini. Ini kerana, rakyat tertunggu sangat. Ini semua hanya akan jadi rasmi dan akan hanya beroperasi setelah diluluskan,” katanya.
Enggan memberi tekanan kepada RoS, beliau berkata, kedua-dua pihak mengadakan pertemuan semalam bagi membincangkan isu nama, logo dan bendera parti Amanah.
“Kami yakin, insyaAllah ia akan diluluskan,” katanya.
Selain lagu kebangsaan dan jalur gemilang hadirin turut menyanyikan lagu baru parti berkenaan.
Majlis pelancaran turut mempamerkan video menceritakan luahan rakyat mengenai kesempitan hidup yang dialami termasuk akibat kos sara hidup yang tinggi dan masalah ekonomi.
Turut hadir kepimpinan tertinggi DAP iaitu penasihat parti Lim Kit Siang, setiausaha agung Lim Guan Eng serta pimpinan PKR iaitu presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, naib presiden Rafizi Ramli dan Saifudin Nasution Ismail.
Tidak mengejutkan, tiada sebarang kelibat daripada pimpinan PAS turut hadir memandangkan Amanah dibentuk terutamanya oleh kumpulan serpihan parti Islam itu yang tewas dalam pemilihan parti pada Jun lalu.
Di perkarangan dewan, kelihatan meja-meja pendaftar yang merekodkan kehadiran ahli baru mereka dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Amanah mendakwa parti itu sudah memiliki 30,000 keahlian seluruh negara dan menyasarkan ia mencecah 100,000 menjelang hujung tahun ini. – September 16, 2015.
SUMBER: The Malaysian Insider