'

Amanah sedia terima Pas, parti lain sertai Pakatan Harapan

20151013022152KUALA LUMPUR, 13 Oktober: Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini sedia menerima Pas atau parti lain untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, penyertaan ahli PH adalah berdasarkan consensus yang dibuat.

“Ia sama seperti perkahwinan. Semuanya berlaku seperti konsensus.

“Kita akan menerima mana-mana parti politik untuk menyertai gabungan ini sekiranya mendapat persetujuan daripada parti lain dalam pakatan itu,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah, Jalan Ipoh, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anuar turut mengumumkan beberapa perkembangan terbaru dalam parti itu.

Menurutnya, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan menjadi Ketua Komunikasi Amanah manakala Dr Dzulkefly sebagai Ketua Strategik dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli sebagai Pengerusi Pilihanraya parti itu.

“Amanah turut memilih bekas penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin sebagai Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Amanah,” katanya.

Anuar berkata, Amanah juga turut menyasarkan penubuhan 500 ahli jawatankuasa Cawangan di seluruh negara.

Katanya, antara insiatif parti itu menjadikan hari Jumaat sebagai hari Tanwir (hari pencerahan).

“Pada hari itu, kita menggalakkan aktiviti akademik, pengajian agama dan perbandingan agama. Semua mengetahui bahawa ahli Amanah bukan semua beragama Islam, ada juga yang bukan Islam, jadi kita menggalakkan dialog antara agama.

“Walaupun Amanah adalah sebuah parti Islam dengan objektif Islam, tetapi ia adalah Islam yang membawa rahmat kepada semua bangsa dan agama,” katanya.

Anuar berkata, parti itu akan cuba meyakinkan semua parti lain dalam PH untuk bertanding di bawah satu logo pada pilihanraya umum akan datang.

“Saya tidak pasti sama ada semua parti sukakan logo mereka, tetapi saya rasakan sudah tiba masanya tiga parti ini lebih bersatu dan bartending di bawah satu logo,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, Amanah sedang memproses 50,000 penyertaan dan yakin ia akan mencecah 100,000 pada akhir Disember.

Amanah mengadakan sidang media hari ini sempena 40 hari penubuhannya sebagai sebuah parti politik.

Sumber: The Rakyat Post

CATEGORIES
TAGS