'

Amanah Sabah Serah Memorandum Bantah 1.5 Juta Pekerja Asing

20160219_112541

1) Parti Amanah Negara-Negeri Sabah (Amanah Sabah) pada hari ini menyerahkan satu Memorandum Membantah Tindakan Kerajaan Mengambil 1.5 juta Pekerja Asing daripada Negara Bangladesh. Memorandum tersebut diserahkan sendiri oleh Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah, kepada Pengarah Imigresen Malaysia Cawangan Sabah, Datuk Musa bin Sulaiman di pejabatnya pagi ini.

2) Penyerahan memorandum pada hari ini bertujuan menjelaskan pendirian Amanah Sabah yang bersama aspirasi rakyat Sabah menolak tindakan kerajaan memeterai perjanjian pengambilan 1.5 juta pekerja asing dengan negara Bangladesh.

Dalam pertemuan selama setengah jam dengan Pengarah Imigresen Malaysia Cawangan Sabah, Hamzah Abdullah menjelaskan pendirian Amanah Sabah tentang isu ini.

Bantahan ini dibuat bersandarkan kepada 6 premis iaitu :

1- Peminggiran Peluang pekerjaan kepada warganegara Malaysia

2- Unjuran Perubahan Populasi Penduduk di Malaysia

3- Menghakis Sosio-budaya Masyarakat di Malaysia

4- Mengubah Sosio-ekonomi di Malaysia

5- Kesan terhadap Perubahan Sosio-politik di Malaysia

6- Isu keselamatan di Malaysia

3) Selain itu, Ketua Pemuda Amanah Sabah, Rendy Ismail, turut menyuarakan kebimbangan anak muda mengenai persaingan pekerjaan yang akan dihadapi oleh anak muda sekiranya lambakan pekerja asing dibawa masuk ke Malaysia. Ratusan ribu graduan daripada universiti, institut-institut kemahiran, politeknik dan pusat latihan kompetensi bakal kehilangan peluang pekerjaan ekoran kecenderungan majikan memilih pekerja asing kerana boleh dibayar dengan gaji yang lebih rendah meskipun tidak mempunyai sebarang kelayakan mahupun kompetensi khusus.

4) Hamzah Abdullah turut mengetengahkan kebimbangan rakyat Sabah akibat unjuran peningkatan populasi penduduk Sabah akibat kemasukan pekerja asing. Sabah mencatatkan pertambahan penduduk luar biasa apabila peningkatan sebanyak 200% sejak tahun 1970 hingga tahun 2015. Pertambahan penduduk luar biasa ini sekaligus menghakis adat resam serta sosio-budaya masyarakat tempat.

5) Respon positif daripada pihak Imigresen setelah pengarah imigresen tadi menerima memorandum yang dihantar kepadanya. Beliau menyatakan pekerja asing daripada negara seperti Bangladesh tidak akan dibawa masuk ke Sabah kerana Bangladesh bukan negara sumber seperti Filipina dan Indonesia.

Selain itu, beliau turut menafikan khabar angin yang tersebar mengenai bilangan pekerja asing yang dihantar ke setiap daerah di Sabah. Dalam pada itu, beliau turut menyatakan jumlah pekerja asing di Malaysia masih terkawal, meskipun masih terdapat sejumlah kecil pekerja asing yang bekerja tanpa passport atau permit kerja yang sah. Beliau mengakui jumlah anggota yang ada seramai 900 orang tidak mencukupi dalam menangani 100% permasalahan ini.

6) Di peringkat Amanah Sabah, kami menegaskan pendirian kami bersama aspirasi rakyat membantah tindakan kerajaan mengambil 1.5 juta pekerja asing daripada Bangladesh. Warga tempatan mestilah diberikan keutamaan dalam pekerjaan dan menyelesaikan isu-isu pekerjaan seperti perlaksanaan gaji minimum.

BEKERJA UNTUK SABAH

Khairuddin Daud
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara-Negeri Sabah (Amanah Sabah)

19 Febuari 2016| Kota Kinabalu

CATEGORIES